PETALING JAYA - [DIKEMASKINI] Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun meninggal dunia dipercayai didera oleh teman lelaki ibunya di Flat Vista Damansara, Kampung Sungai Kayu Ara di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya,Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, siasatan awal mendapati berlaku salah faham antara pasangan itu sebelum ibu kepada kanak-kanak berkenaan bertindak keluar rumah.
"Wanita itu keluar rumah meninggalkan anaknya bersama teman lelakinya," katanya ketika ditemui Sinar Harian hari ini.
Menurut Ezanee, ibu muda berusia berusia 23 tahun itu bertindak menghubungi polis kira-kira jam 11.45 malam tadi selepas mendapati anaknya tidak sedarkan diri.
Menurutnya, kejadian disedari selepas wanita itu pulang ke rumah dan teman lelakinya telah pun menghilangkan diri.
"Kanak-kanak berkenaan dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) sebelum disahkan meninggal dunia.
"Setakat ini terdapat kesan kecederaan pada bahagian belakang kepala kanak-kanak berkenaan dan kita masih menunggu keputusan bedah siasat pihak hospital," katanya.
Ezanee berkata, polis kini memburu seorang pemandu Grab, B Jeetendraj, 26, yang beralamat terakhir di No 2-C Jalan Nuri Felda Soeharto, Kuala Kubu Bharu bagi membantu siasatan.
"Lelaki berkenaan kali terakhir dilihat memandu kereta jenis Perodua Bezza warna biru bernombor pendaftaran VCT4194," katanya.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 302 kanun keseksaan kerana membunuh.