'Pas mesti bersikap matang, berjiwa besar'

Iklan
Antara perwakilan Dewan Muslimat Pas Selangor yang hadir dalam Muktamar Dewan Muslimat Pas di Kota Raja, Klang hari ini.

KLANG - Pas mesti bijak membuat percaturan agar kerajaan kini sentiasa mendapat mandat daripada rakyat.

Ketua Muslimat Pas Selangor, Wan Hasrina Wan Hassan berkata, sebagai sebahagian daripada kerajaan, Pas mesti bersikap matang dan berjiwa besar serta optimistik bagi memastikan nasib dan masa depan rakyat tidak lagi menjadi pertaruhan.

Iklan
Iklan

"Pas perlu memainkan peranan dalam mengisi kemenangan dan tetapkan sasaran gerak kerja mengikut prinsip yang didukung selama ini dengan memberi fokus kepada pembangunan Modal Insan (spiritual), peningkatan daya pemikiran, penguasaan ilmu rakyat serta pembangunan ekonomi dan fizikal rakyat.

"Dalam masa sama, kepentingan rakyat dan negara mesti didahulukan melebihi kepentingan peribadi," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Muktamar Dewan Muslimat Pas di Kota Raja, di sini hari ini.

Wan Hasrina

Mengulas mengenai kejatuhan Pakatan Harapan (PH), katanya, rakyat dimomokkan dengan pelbagai janji oleh PH sebelum ini.

Iklan

"Ketika diumumkan peralihan kuasa semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu, rakyat bersorak gembira, semua menunggu realisasi janji dan manifesto Pakatan Harapan yang ditabur semasa kempen PRU14.

"Sangkaan mula meleset, harapan mula hancur, hati mula marah, rakyat tidak berpuas hati dengan sikap kerajaan yang tidak menepati janji malah hanya berbicara soal politik dan sering menanamkan obor kebencian dalam kalangan rakyat," katanya.

Jelasnya, rakyat benar-benar rasa tertipu dan rasa ditindas sepanjang 22 bulan tempoh pemerintahan PH.

"PH hanya dipenuhi dengan drama politik kebencian, tidak cukup dengan itu, drama politik Malaysia bergegar sekali lagi apabila watak utama kerajaan Malaysia meletak jawatan.

"Cara pentadbiran kerajaan PH cukup menyesakkan dan menjengkelkan rakyat kerana kegagalan mereka menunaikan janji-janji manifesto PRU14 yang ditabur ketika memancing undi," katanya.

Namun katanya, setiap hal yang berlaku mengandungi seribu satu hikmah yang amat melegakan.

"Ketika Tan Sri Muhyiddin Yassin diberi kepercayaan oleh Yang di-Pertuan Agong untuk mengemudi negara, sinar perubahan mula tampak jelas biarpun ketika itu negara diuji dengan isu kesihatan yang meruncing iaitu virus Covid-19.

"Kabinet Tan Sri Muhyiddin dilihat amat bijak mengemudi kerajaan dengan memberi tumpuan kepada isu rakyat berbanding isu kerakusan kuasa pemimpin lain yang mahu memegang tampuk pemerintahan sebagai Perdana Menteri," katanya.