MDYP pantau peniaga asing di Bandar Baru Ayer Hitam

Iklan
Keadaan di beberapa premis menjual permaidani di Bandar Baru Ayer Hitam yang ditutup berikutan laporan media mengenai kebanjiran peniaga asing di kawasan itu baru-baru ini.

AYER HITAM - Majlis Daerah Yong Peng (MDYP) menjalankan siasatan dan inventori ke atas premis-premis perniagaan persendirian di Bandar Baru Ayer Hitam pada Julai lepas.

Yang Dipertua MDYP, Mohd Haniff Ahmad berkata, inventori dilakukan untuk rekod rujukan dan tindakan lanjut penguatkuasaan di bawah perundangan sedia ada.

Iklan
Iklan

Katanya, tindakan bersepadu telah dilakukan ke atas peniaga warga asing iaitu warga Pakistan di situ dalam operasi bersama Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen), Oktober tahun lalu.

"Hasil daripada operasi itu, seramai 10 warga Pakistan ditahan kerana didapati berniaga tanpa dokumen perjalanan yang sah dan enam lesen perniagaan disiasat untuk tindakan mengikut undang-undang kecil perlesenan, tred, perniagaan dan perindustrian (MDYP) 2019.

Iklan

"MDYP juga menjalankan pemeriksaan dan pemantauan berkala bersama pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) bermula Mac hingga sekarang," katanya melalui kenyataan baru-baru ini.

Mohd Haniff berkata, tindakan sewajarnya akan dikenakan ke atas individu yang menjalankan perniagaan tanpa lesen serta melanggar perundangan sedia ada selaras dengan ketetapan kerajaan negeri Johor.

Iklan

"Justeru, MDYP menyarankan orang ramai atau masyarakat setempat yang mempunyai maklumat berkaitan kesalahan dilakukan oleh peniaga atau apa-apa perniagaan tanpa lesen yang dijalankan oleh peniaga warga asing untuk menyalurkannya bagi diambil tindakan," katanya.

Sementara itu, hasil siasatan MDYP mendapati lesen yang digunakan warga Pakistan dipercayai milik warga tempatan yang memiliki hubungan kekeluargaan seperti suami isteri atau anak-anak.

"Siasatan juga mendapati sebanyak 26 lesen dipercayai terlibat dengan aktiviti perniagaan permaidani yang dikatakan dijalankan oleh peniaga warga Pakistan melibatkan 41 premis perniagaan komersial," katanya.

Terdahulu tular di media sosial video dan gambar keadaan beberapa premis di Bandar Baru Ayer Hitam yang ditutup susulan laporan media mengenai kegiatan warga asing khususnya dari Pakistan yang menjalankan perniagaan di situ.