Enam mat rempit ditahan

Iklan
Antara yang ditahan dalam Ops Samseng Jalanan malam tadi.

SHAH ALAM - Enam lelaki ditahan polis kerana menunggang motosikal dengan melakukan pelbagai aksi berbahaya dan bersaing sesama sendiri dalam Ops Samseng Jalanan di Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) dan Setia Alam malam tadi.

Timbalan Pengarah (Penguatkuasaan/Kawalan Lalu Lintas/Pengurusan Saman) Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Nadzri Hussain berkata, dalam operasi bermula jam 11 malam itu, dua lelaki dikesan menunggang motosikal dengan melakukan aksi 'zig-zag', 'superman' dan meniarap di atas motosikal.

Iklan
Iklan

"Dua penunggang itu dikesan melakukan aksi terbabit bermula di Persiaran Setia Alam sebelum bertindak melawan arus sebanyak dua kali.

"Kedua-dua individu berkenaan kemudian ditahan di tepi jalan Batu 8 Jalan Bukit Kapar - Jalan Bukit Cerakah kira-kira jam 2.10 pagi," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Iklan

Beliau berkata, dalam tangkapan berasingan, empat penunggang motosikal yang melakukan aksi bersaing sesama sendiri dan 'zig-zag' di Lebuhraya NKVE turut berjaya ditahan kira-kira jam 2.30 pagi.

Katanya, enam buah motosikal jenis Yamaha LC135, Yamaha Y15ZR dan SYM telah disita.

Iklan

"Kesemua motosikal dan individu berusia lingkungan 17 hingga 23 tahun yang ditahan telah dibawa ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam untuk tindakan lanjut.

"Kes disiasat di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.