PETALING JAYA - Komisen lumayan setiap kali dapat menarik pelanggan, menjadi tarikan kepada beberapa wanita warga Indonesia yang memilih untuk menjadi pelayan pelanggan (GRO) di sebuah premis hiburan di SS7 di sini.
Wanita-wanita itu akan mendapat komisen lebih jika mereka memperoleh lebih daripada dua pelanggan.
Kegiatan itu terbongkar selepas premis hiburan berkenaan yang beroperasi tanpa lesen diserbu sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor berakhir awal pagi tadi.
Menurut Pegawai Turus D7 Selangor, Deputi Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin, dalam serbuan bermula 12 tengah malam itu, polis menahan lapan wanita dan dua lelaki warga asing menerusi Op Noda.
"Hasil risikan mendapati premis hiburan berkenaan beroperasi lebih enam bulan dan dibuka pada setiap 6 petang hingga awal pagi. Mereka akan dapat komisen bagi setiap pelanggan yang dilayani dan semakin ramai pelanggan semakin banyak komisen diperoleh.
"Hasil serbuan, polis menahan lapan wanita warga Indonesia berusia 24 hingga 34 tahun dan semakan kami mendapati ada antara mereka tidak memiliki permit selain menyalahgunakan pas lawatan,” katanya selepas serbuan itu.
Mohd Khaizam Ahmad berkata, kesemua wanita berkenaan dipercayai tinggal di dalam empat bilik di premis itu.
"Kita turut menahan dua lelaki melibatkan seorang warga Bangladesh disyaki pekerja premis dan seorang warga tempatan disyaki penjaga premis.
"Semakan mendapati mereka tidak mempunyai permit untuk menjual minuman keras. Selain itu, polis turut merampas peralatan hiburan, minuman keras serta sejumlah wang tunai,” katanya.
Menurutnya, kesemua suspek dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya bagi tindakan selanjutnya manakala kes disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen dan Seksyen 35 Akta Kastam. - Bernama