TANJONG KARANG - Perbincangan mengenai pembahagian kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) membabitkan Muafakat Nasional di Selangor ditentukan berdasarkan analisis pada PRU14 lalu.
Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata, mana-mana kerusi yang dimenangi calon Muafakat Nasional akan kekal ditandingi calon daripada parti terbabit.
Bagaimanapun, katanya, mana-mana kerusi dimenangi atas tiket UMNO tetapi calonnya meninggalkan parti dengan menyertai Bersatu, kerusi terbabit wajib diserahkan semula kepada UMNO.
"Bagi saya parti yang menang mesti kekal bertanding pada PRU15 dan ini termasuklah kerusi UMNO di Parlimen Sabak Bernam yang dimenangi calon UMNO tetapi meninggalkan parti dengan menyertai Bersatu," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Cek Sumbangan Dewan Terbuka di SK Parit Serong, di sini hari ini.
Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang berkata, bagi kerusi dimenangi Pakatan Harapan (PH) pula, Muafakat Nasional dijangka meletakkan calon berdasarkan undi kedua tertinggi diperoleh pada PRU14 lalu.
"Misalnya kerusi Parlimen Kuala Selangor dimenangi calon PH, kita kena lihat jumlah undi kedua tertinggi antara UMNO dan Pas. Jika UMNO lebih tinggi, kerusi terbabit ditandingi calon UMNO begitu juga jika sebaliknya," katanya.
Noh berkata, formula terbabit perlu ada dalam pengagihan kerusi membabitkan calon Muafakat Nasional di negeri ini.
"Dalam perlaksanaan mungkinlah ada budi bicara tetapi di Selangor, kita kena pegang prinsip itu berdasarkan analisis PRU14," katanya.