KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) hari ini meluluskan serta-merta permohonan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bersama kemnya menyertai parti itu.
Mohamed Azmin dalam ucapannya pada Kongres Negara 'Bersatu untuk Malaysia' di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini hari ini mengisytiharkan untuk menyertai Bersatu.
"Dengan penuh ikhlas dan hati tulus saya dan ketumbukan dari Perlis sampai Sabah, sama ada Penggerak Komuniti Negara, Pemuda Negara, Nations of Women (NOW) dan Penggerak Wanita Muda Negara, dengan ini kami isytiharkan untuk sertai Bersatu.
"Kami menyokong kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri Malaysia. Sekarang adalah masanya untuk bersatu demi negara, bersatu untuk Malaysia," katanya.
Beliau mewakili kemnya termasuk empat badan bukan kerajaan (NGO) iaitu Penggerak Komuniti Negara, Pemuda Negara, Nations of Women (NOW) dan Penggerak Wanita Muda Negara, melafazkan ikrar dan membuat pengisytiharan menyertai Bersatu.
Bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu kemudiannya menerima kad keahlian diserahkan sendiri oleh Muhyiddin sebagai simbolik penerima kemasukan ke Bersatu selain secara rasmi berikrar untuk bersama Bersatu sekali gus menjawab teka-teki hala tuju politiknya.
Mohamed Azmin dalam ucapannya turut berazam untuk terus membangunkan negara serta rakyat."Sekarang adalah masa kita bersatu untuk Malaysia. Kami adalah barisan hadapan yang sanggup terjun kelapangan untuk kukuhkan Bersatu demi kestabilan Perikatan Nasional (PN).
"Kami bersumpah untuk terus angkat martabat ummah dan rakyat demi keadilan, ekonomi dan rakyat," katanya.
Dalam pada itu, menurutnya, pembahagian kerusi dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang akan dibincangkan dengan parti sekutu Perikatan Nasional (PN).
Ia susulan penyertaan beliau dan kemnya dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) secara rasmi hari ini.
Mohamed Azmin berkata, fokus utama kumpulannya menyertai Bersatu akan bersama rakan PN untuk melawan Pakatan Harapan (PH).
"Itu sahaja (kita nak tanding semua kerusi), mana boleh kita ambil semua sebab ini satu gabungan, kita harus ada perbincangan, ada mesyuarat, hormat antara satu parti dengan parti yang lain dalam gabungan.
"Inilah kekuatan yang ada dalam PN di mana kita sering bincang dengan rakan-rakan dan anggota supaya ada satu konsensus sebelum sebarang tindakan dibuat
"Tetapi yang penting 222 kawasan Parlimen ini akan kita ditandingi lawan PH," katanya ketika pada sidang media selepas menghadiri kongres itu.
Mengulas ketiadaan wakil UMNO dalam kongres itu, Mohamed Azmin berkata, pihaknya menghantar jemputan dan parti itu memaklumkan mereka sedang menumpukan kepada PRK Slim.
"Kita sudah maklum melalui surat jemputan tapi kita tahu mereka sibuk di PRK Slim, perkara itu di maklumkan Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa mereka minta maaf sebab tak datang tapi kita akan bersama untuk pilihanraya akan datang dan esok (hari ini) kita akan turun bantu kempen untuk menangkan calon BN di Slim,” katanya.
Sementara itu, mengulas desas-desus berhubung strategi untuk meletakkan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar bagi menentangnya di Parlimen Gombak dalam PRU15, beliau berkata, semua calon daripada mana-mana parti mempunyai hak untuk bertanding di 222 parlimen.
Secara sinis beliau turut menjemput Pejuang, parti baharu pimpinan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk bersama-sama bertanding.
"Sesiapa pun boleh bertanding. Kalau ada Pejuang nak masuk Gombak silakan. Saya serah kepada pengundi. Saya tidak boleh menghalang mereka untuk tidak bertanding," katanya.