MIDDLESBROUGH - Seorang ibu alami penurunan berat badan mendadak kepada 35 kilogram (kg) apabila hanya mengambil nuget ayam sebagai makanan hariannya selama empat tahun.
Michaela Harris, 26, mengatakan dia tidak menyukai makanan lain kerana ia akan membuatnya muntah, kecuali kerepek, lapor Mirror.
Ibu kepada tiga anak itu mula makan nuget ayam secara berkala sejak 2016 selepas mengalami putus cinta.
Dia berhenti mengambil makanan seperti daging dan ikan setelah berpisah dengan kekasihnya hingga kehilangan berat 16kg dalam tempoh tiga bulan.
Wanita yang berasal dari Middlesbrough, England bagaimanapun bimbang tiga anaknya, Isabella, 7, Jacob, 5, dan Isla Rose, 1, akan mula meniru tabiat pemakanannya.
"Saya sangat risau anak-anak akan mula meniru saya. Anak bongsu saya sudah cerewet dan meminta makanan (nuget ayam).
"Ini adalah perkara yang menakutkan kerana anak-anak perlu nutrisi yang seimbang," katanya.
Suri rumah ini juga didiagnosis alami gangguan pengambilan makanan yang terhad dan satu bentuk fobia terhadap makanan pada 2016.
Susulan itu, kini, dia mula menjalani pengambilan makanan seimbang demi kesihatan jangka masa panjang.
"Saya kini berusaha untuk tambah berat badan dan tidak mahu anak-anak mengikut jejak langkah saya makan nuget setiap hari.
"Mereka perlu makanan sihat," katanya mahu amal gaya hidup sihat.