CAMERON HIGHLANDS - Calon BN, Ramli Mohd Nor akhirnya menjelaskan alasan beliau lebih banyak mengunci mulut sepanjang tempoh berkempen PRK Cameron Highlands.
Beliau menegaskan berdiam diri lebih baik bagi mengelakkan dirinya terperangkap dengan permainan lawan.
"Komen saya senang sahaja. Perasaan tak saya kurang cakap, kamu (media) pun tak suka kan? Macam-macam cakap kata saya tak pandai bercakap dan sebagainya.
"Ada peribahasa kata, lagi banyak kita bercakap lagi banyak kita buat hal," katanya kepada pemberita ketika ditemui di pusat mengundi SK Menson, di sini, hari ini.
Beliau diminta mengulas soal penyebaran gambar lewat malam tadi yang mendakwa lawannya mengagihkan makanan kepada penduduk di salah sebuah perkampungan.
Mengulas lanjut, Ramli yang merupakan bekas pegawai tinggi polis menafikan tindakan berdiam diri dan kurang mengulas sebarang isu sepanjang kempen kerana beliau tidak mesra media.
"(Kita ingat tuan tak suka media) Bukan tak suka. Macam ini lah, apa kerja saya? (Polis). Saya bagi media 'report' dan sebagainya kan, saya dah biasa dengan kamu (media).
"Tapi saya tak nak masuk perangkap mereka. Lagi banyak saya cakap, lagi banyak benda mengarut saya cakap," katanya.
Sepanjang dua minggu berkempen di Dun Tanah Rata dan Dun Jelai, Ramli akui kehilangan berat badan dan tidak mendapat tidur yang cukup.