Covid-19 dijangka berakhir kurang dua tahun: WHO

Iklan
Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus

GENEVA - Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berharap tempoh pandemik koronavirus (Covid-19) adalah lebih pendek berbanding wabak Selesema Sepanyol yang menjangkiti 500 juta orang pada 1918.

Kelmarin, ketua agensi itu, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus memberi anggaran ancaman wabak itu dijangka berakhir dalam tempoh kurang dua tahun jika dunia bersatu dan berjaya menghasilkan vaksin.

Iklan
Iklan

Sebelum ini, WHO sering berhati-hati ketika menganggarkan tempoh ancaman Covid-19 akan lenyap berikutan masih tiada vaksin untuk merawat jangkitan tersebut.

Menurut Dr Tedros, wabak Selesema Sepanyol mengambil masa selama dua tahun sebelum ia reda.

Iklan

"Dalam situasi sekarang dengan lebih banyak teknologi dan hubungan. Virus tersebut lebih mudah tersebar dengan pantas.

"Tetapi, dalam masa sama, kita juga ada kelebihan teknologi untuk menghentikannya,” katanya di Geneva.

Iklan

Beliau juga menggesa perpaduan negara dan solidariti global untuk menjayakan hasrat tersebut.

"Kita perlu memanfaatkan alatan yang ada secara maksimum dan berharap mempunyai alatan tambahan seperti vaksin untuk menghentikan pandemik ini,” katanya.

Sehingga kini, lebih 22.81 juta penduduk dijangkiti di seluruh dunia dan hampir 794,000 kematian direkodkan sejak ia pertama kali dikenal pasti di China pada akhir tahun lalu.

Dalam pada itu, WHO turut mengesyorkan agar kanak-kanak berusia 12 tahun dan ke atas memakai pelitup muka dalam konteks sama seperti orang dewasa untuk membendung wabak Covid-19.

Garis panduan baharu itu dikeluarkan dengan kerjasama Tabung Kecemasan Kanak-kanak PBB (UNICEF) bagi menjawab persoalan banyak pihak tentang umur sesuai bagi kanak-kanak memakai pelindung tersebut.

"Golongan itu perlu memakai pelitup muka apabila berada di kawasan umum yang sukar melaksanakan jarak sosial satu meter," jelas kenyataan itu berdasarkan kajian terhadap data golongan kanak-kanak sebagai penyumbang untuk penularan Covid-19 dan manfaat pemakaian penutup hidung dan mulut.

Bagaimanapun, agensi PBB itu menyatakan kanak-kanak di bawah lima tahun tidak perlu memakai pelitup muka berikutan terdapat bukti menunjukkan golongan itu mempunyai tahap kerentanan lebih rendah kepada jangkitan berbanding orang dewasa. - AFP