Strategi memburu emas sulung Sukan Olimpik

Iklan
Mohamad Norza. Foto : Rosli Talib

[VIDEO] PERSARAAN jaguh badminton, Datuk Lee Chong Wei pada tahun lalu ternyata memberi impak kepada arena sukan tanah air. Apa tidaknya, sepanjang hampir 20 tahun bergelumang dalam dunia badminton, Chong Wei sentiasa menghadirkan kejayaan manis buat Malaysia di pentas antarabangsa.

Tiga pingat perak yang diraihnya pada temasya Sukan Olimpik bermula pada edisi 2008 di Beijing, China diikuti 2012 di London, United Kingdom dan 2016 di Rio de Janeiro, Brazil sudah cukup membuktikan kehebatan Chong Wei selaku jagoan sukan Malaysia yang tiada tolok bandingnya.

Iklan
Iklan

Kini dengan ketiadaan Chong Wei, timbul persoalan siapakah atlet yang disandarkan untuk meneruskan kecemerlangan bekas pemain badminton nombor satu dunia itu di pentas Olimpik. Tambahan pula, Malaysia masih tercari-cari emas sulung Olimpik.

Ikuti wawancara eksklusif Sinar Ahad bersama Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria bagi mengupas lebih lanjut percaturan badan induk itu dalam misi merealisasikan impian Malaysia meraih pingat emas pertama pada Sukan Olimpik di Tokyo, Jepun tahun depan.

Iklan

Sukan Olimpik Tokyo pada awalnya dijadualkan berlangsung dari 24 Julai hingga 9 Ogos lalu, namun ditangguhkan akibat pandemik Covid-19. Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) kini telah menetapkan tarikh baharu penganjuran Sukan Olimpik Tokyo pada 23 Julai hingga 8 Ogos 2021.

SINAR AHAD: Pertama sekali tahniah Tan Sri atas penganugerahan Darjah Kebesaran Panglima Setia Mahkota (PSM) sempena ulang tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah baru-baru ini.

Iklan

Pengiktirafan yang saya terima daripada Yang di-Pertuan Agong ini bukan sahaja terhadap diri saya seorang, tetapi ia adalah pengiktirafan kepada keseluruhan bidang sukan itu sendiri. Saya menerima penganugerahan ini selaku Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM). Di bawah MOM itu sendiri ada 56 badan sukan melibatkan 35 ahli gabungan penuh dan selebihnya 21 ahli bersekutu. Saya juga melihat pengiktirafan ini turut melibatkan ahli-ahli badan gabungan, atlet, jurulatih dan pegawai sukan. Sebagaimana kita semua sedia maklum, Seri Paduka Baginda juga begitu dekat dengan sukan. Penglibatan Seri Paduka Baginda bukan sahaja setakat di Asia tetapi sehingga ke peringkat tertinggi melibatkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Persekutuan Hoki Asia (FIH).

Boleh Tan Sri kongsikan kisah suka duka selama lebih dua tahun menerajui MOM?

Jika kita tengok sejarah, jawatan Presiden MOM bermula selepas merdeka apabila Tun Abdul Razak Hussein dilantik. Tun Abdul Razak ketika itu menjadi Perdana Menteri. Selepas itu, MOM dipengerusikan oleh Tan Sri Hamzah Abu Samah yang juga Menteri Belia dan Sukan pada masa itu sebelum Tunku Tan Sri Imran Tuanku Ja’afar pula dilantik sebagai Presiden MOM. Ketika saya dilantik, saya tidak mempunyai jawatan di peringkat kerajaan, tentu sahaja ia perkara yang sukar kerana sebelum saya dilantik Presiden MOM, semuanya ‘orang-orang besar’ yang menerajui MOM berbanding saya yang datang dari akar umbi. Mungkin mereka melihat penglibatan aktif saya bermula sebagai Presiden Persatuan Badminton Kuala Lumpur sehinggalah peringkat paling tinggi iaitu Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), sebab itulah mereka rasakan saya ini seorang yang boleh menyelami bagaimana penglibatan dan perkembangan sukan di peringkat akar umbi. Saya ambil ia sebagai satu cabaran yang sangat besar kerana Tunku Imran ialah ahli tetap Majlis Olimpik Antarabangsa (IOC). Bagi saya, badan sukan itu perlu dilihat sebagai lebih kepada perubahan dari segi institutional reform. Kita tidak mahu badan itu dikenali oleh individu tertentu. Tetapi kita mahu pembangunan industri itu dilakukan supaya suatu hari nanti saya akan meninggalkan satu legasi dan ia akan kekal berkembang atau berubah mengikut peredaran zaman. Sebagai contoh, kita berhadapan dengan keadaan atau perkara yang mungkin mengecewkan. Contohnya, kita nak menghadapi Sukan Olimpik tetapi kerana ancaman Covid-19, kita terpaksa berhadapan dengan keadaan yang belum pernah berlaku sebelum ini. Akibatnya, semua program sukan dibatalkan. Ini menyebabkan perancangan kita bagi program Road To Tokyo (RTT) terbantut. Ketika itu suasananya masih tidak pasti hingga kita terpaksa merujuk kepada IOC sama ada Tokyo (Olimpik) itu diteruskan atau tidak? Ancaman Covid-19 juga memberi kesan kepada persatuan-persatuan sukan yang berdepan krisis kewangan. Melihatkan situasi itu, saya tubuhkan tabung Covid-19 sebanyak RM300,000 untuk kita agihkan kepada ahli-ahli gabungan bagi membantu mengurangkan beban mereka yang terlibat.

Mohamad Norza ditemubual Editor Sukan Sinar Harian, Azizul Fahmi Ahmad Zabidi dan wartawan Sukan Sinar Harian, Shahrizal Ahmad Zaini di pejabatnya di Bangsar, Kuala Lumpur Jumaat lalu.

Bagaimana Tan Siri melihat penangguhan Sukan Olimpik, adakah ia satu berita baik untuk kontinjen Malaysia?

Saya selalu katakan kepada mereka yang terlibat agar melihat apa yang berlaku ini dari sudut pandang positif. Saya sendiri rasa apa yang berlaku ini adalah satu hikmah kerana apabila bercakap soal kelayakan ke Olimpik, atlet-atlet kita kini ada masa yang lebih untuk mereka reboot atau memulakan kembali latihan mereka. Saya yakin ini adalah hikmah daripada apa yang berlaku. Sebagaimana yang kita sedia maklum, sasaran kita adalah untuk menghantar lebih 30 atlet ke Tokyo. Setakat ini, kita dah ada 12 atlet yang layak secara automatik ke Tokyo. Saya rasa kalau proses kelayakan Olimpik ini dimulakan semula, saya yakin kita akan dapat lebih ramai lagi atlet. Ini kerana kalau kita tengok statistik daripada IOC, hanya 50 peratus atlet yang sepatutnya layak ke Olimpik baru layak ke Tokyo. Jadi ada 50 peratus lagi dan kalau berasaskan kepada percaturan persatuan sukan kebangsaan, saya yakin kita dapat capai sasaran menghantar sekurang-kurangnya 30 atlet ke Tokyo.

Bagaimanakah dengan sasaran untuk menghantar kontinjen yang ramai pada Olimpik kali ini? Bagi Tan Sri, atlet manakah yang layak untuk ke Olimpik menerusi tiket wild card?

Kalau ikut sekarang ada 12 atlet yang sudah melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo. Ini tidak termasuk bagi pemain-pemain dalam sukan badminton lagi. Badminton ada lima acara, ada single (perseorangan), double (beregu) termasuk campuran. Saya berharap persatuan sukan juga boleh menambahkan lagi atlet dan kita boleh mencapai kepada sasaran 30 atlet pada Sukan Olimpik kali ini. Mengenai tiket wild card, saya rasa tentu sahaja bagi olahraga atau mungkin tambahan lagi dua acara sukan seperti golf. Kita juga masih menyandarkan harapan kepada sukan karate dan juga pelayaran. Sukan-sukan inilah yang akan membantu menambahkan lagi bilangan atlet dalam kontinjen Malaysia. Bagaimanapun, kita mahu atlet yang benar-benar berkualiti dan kita tidak mahu pemain yang hanya berperanan sebagai ‘penumpang’ dalam kontinjen Malaysia.

Setelah penangguhan Sukan Olimpik 2020 akibat pandemik Covid-19, bagaimana moral atlet negara?

Saya nak ulang balik perkataan hikmah terhadap penangguhan Sukan Olimpik ini. Pertamanya, apa yang berlaku ini adalah sesuatu yang universal kerana krisis pandemik ini bukan sahaja melibatkan negara kita, tetapi juga di seluruh dunia. Yang kedua, kita juga beranggapan bahawa atas kejayaan kerajaan kita flattened the curve menyebabkan kita berada di barisan hadapan untuk bersiap sedia ke Olimpik. Kita tengok betapa sistematiknya pembukaan sektor sukan kita daripada program RTT, kemudian pembukaan sukan lain dan hari ini bola sepak pun dah mula. Oleh itu bagi saya, ini peluang yang perlu kita ambil dengan kelebihan yang kita ada sedangkan negara besar lain seperti Amerika Syarikat dalam kekalutan dan tidak menentu. Begitu juga dengan negara-negara Eropah, kuasa-kuasa besar dan saya beranggapan kita mesti memandang situasi itu dengan positif. Saya mahu atlet dan pegawai kita ada iltizam atau kekuatan semangat dan barulah kita boleh letakkan lebih ramai atlet dalam membuat persiapan kelayakan Olimpik yang dijangka bermula pada penghujung tahun ini atau pada awal tahun hadapan.

Setelah persaraan Datuk Lee Chong Wei, atlet manakah yang menjadi sandaran untuk merealisasikan matlamat memburu emas pertama negara pada temasya Olimpik kali ini?

Saya memang rapat dengan Chong Wei dan perjalanannya ibarat perjuangan yang belum selesai. Jadi saya lantik beliau sebagai Chef De Mission (CDM) Sukan Olimpik Tokyo. Mungkin impiannya sebagai atlet (meraih emas Olimpik) tak kesampaian tetapi mungkin sebagai CDM hasrat berkenaan dapat direalisasikan. Saya turut katakan kepadanya, dulu beliau tampil sebagat atlet, tetapi kali ini beliau perlu belajar mengenai pengurusan pula. Ini juga tekanan untuk kita mencari emas yang masih belum kita capai sedangkan Singapura dah ada emas. Saya beranggapan jika dahulu potensi emas ada pada Azizulhasni (Awang), atlet-atlet terjun kita (Pandalela Rinong, Leong Mun Yee dan Cheong Jun Hoong), namun dengan penangguhan Sukan Olimpik kali ini, ia buka peluang kepada atlet daripada sukan lain. Pada Olimpik Rio pun kita tak sangka dapat banyak pingat perak yang datangnya daripada sukan badminton dan terjun. Kita ada masa setahun lagi sebelum (Sukan Olimpik Tokyo) Julai 2021. Bagi saya, untuk memenangi pingat emas ini bukanlah cita-cita saya seorang, tetapi cita-cita seluruh rakyat Malaysia dan walau apa juga yang berlaku, sasaran emas itu perlu kita capai kerana ia adalah maruah kita. Saya yakin dengan doa, semangat, dan motivasi daripada semua yang ada dalam sukan, kita yakin boleh mencapai impian emas tersebut.

Tan Sri, selalu kita dengar penyokong mendakwa mental atlet Malaysia lemah. Sebagai contoh, jika Chong Wei jumpa Lin Dan, sudah tentu awal-awal lagi mereka meramalkan Chong Wei akan kalah. Benarkah tanggapan bahawa mental kebanyakan atlet Malaysia lemah?

Saya beri contoh bila Morten Frost (Hansen) datang (dilantik sebagai Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM). Bila kamu latih orang Malaysia ini, maka kamu haruslah melatih macam orang Malaysia. Jangan latih macam orang Denmark sebab acuannya berbeza. Disebabkan itu, kita kena tahu acuan kita yang sebenarnya. Sebab itu saya meletakkan mini sport science dalam BAM. Sebab BAM kena ada ahli psikologi selain analisis prestasi setiap pemain. Perkara-perkara ini yang perlu kita lihat secara saintifik, mengapa dan kenapa pemain-pemain kita apabila saat dan ketika kita nak mereka (menampilkan aksi terbaik), mereka gagal untuk melaksanakannya.

Mohamad Norza berkongsi suka duka selama lebih dua tahun menerajui MOM.

Berbalik kepada Sukan Olimpik Tokyo, mungkin Tan Sri mengenali rapat Azizulhasni Awang. Azizulhasni seperti yang kita kenal ialah seorang pejuang dan bila Chong Wei sudah bersara, semua bercakap Azizulhasni merupakan prospek terbaik meraih emas. Apakah komen Tan Sri?

Saya sendiri pun yakin bahawa Azizulhasni merupakan peluang kita yang terbaik untuk kita mendapatkan pingat emas pertama Sukan Olimpik. Sebab kita mesti mempunyai atlet yang memiliki keyakinan diri yang tinggi, mental yang kuat, lapar untuk kemenangan, mempunyai semangat patriotik yang tinggi. Semua kriteria itu ada pada Azizulhasni. Bila persatuan (Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia) kata tak boleh janji pingat emas, Azizulhasni sendiri tampil ke depan, dia kata dia janji dapatkan pingat emas. Ini merupakan contoh atlet yang kita mahukan kerana dia punya keyakinan diri. Bila sampai ke peringkat dunia, pemikiran mesti untuk menang sepanjang masa. Kita mesti membudayakan prestasi tinggi. Kita mesti membudayakan mentaliti mahu menang. Kamu mesti sentiasa percaya yang kamu boleh muncul juara. Kamu mesti punyai keyakinan diri dulu kerana hanya dengan kepercayaan dan keyakinan diri yang tinggi, kita mampu bersaing di peringkat paling tinggi.

Bagaimanakah pula dengan Pandelela Rinong yang pernah menang pingat juga untuk Sukan Olimpik London?

Saya yakin dan percaya atlet-atlet yang sudah lama ini yang mempunyai pengalaman menyertai lebih daripada satu Sukan Olimpik mempunyai peluang untuk mendapatkan medal. Tentu sahaja kita mahu medal emas. Pandelela dan beberapa lagi atlet mempunyai pengalaman. Namun, kita semua tahu dalam sukan terjun ini, cabarannya adalah dari China. Sekiranya kita mahu mendapatkan pingat emas, kita mesti sampai level kesempurnaan yang sama seperti pesaing-pesaing kita dari China.

Apakah harapan Tan Sri untuk arena sukan Malaysia khususnya menjelang Sukan Olimpik tahun depan?

Saya beranggapan bahawa sukan pasca-Covid-19 sudah berbeza. Saya mahu dunia sukan juga berbeza bagi Malaysia. Bahawa sukan selepas Covid-19 ini akan menuju kecemerlangan. Contohnya saya sebagai Presiden BAM kan dan Presiden MOM, saya beranggapan dengan penangguhan Sukan Olimpik ini mampu memberi sinar harapan bahawa pingat emas kita yang dulu hanya tertumpu pada Azizulhasni seorang, mungkin kita ada ramai lagi mereka yang layak untuk membawa cabaran tersebut. Kita harus terus bekerja kuat memantapkan persediaan kita supaya selepas Covid-19 ini, ada sinar yang lebih terang, ada sinar yang lebih bercahaya pada sukan Malaysia dan kita semua harus bersifat positif kerana cabaran itu sudah tentu kuat. Cabaran berliku, namun kita kena sentiasa percaya bahawa di penghujung itu ada seribu impian. Jadi kita mesti kerja bersama-sama untuk menggapainya.

ANEKDOT

Sukan boleh menyatukan bangsa

Kalau ikut kelulusan saya, saya ialah seorang Akauntan Bertauliah (CPA) Australia. Kalau dalam Malaysia Institute Accountant (MIA), saya Chartered Accountant yang paling tinggi sekali. Jadi saya memang akauntan profesional. Dari segi keperibadian, orang yang tak biasa mungkin kalau tengok muka saya, orang kata saya sombong. Tapi saya sebenarnya seorang yang suka berterus-terang.

Kalau orang tanya Norza kenapa kamu pergi ke bidang sukan? Sebab apa? Saya selalu fikir macam mana nak bawa feel good factor back? Ia kerana melalui sukan kita boleh menyatukan orang. Saya masih ingat bila Lee Chong Wei lawan Lin Dan di Rio de Janeiro, Brazil. Tujuh juta orang tengok televisyen. Seluruh negara tak bergerak. Itulah perasaan yang saya nak bawa. Ini kerana tak ada perkara yang boleh menyatukan rakyat. Melalui sukan kita bawa negara bersama dan melalui sukanlah kita boleh membawa satu semangat kenegaraan yang tinggi. Sebab itu ada orang komen saya pegang dua badan sukan, BAM dan MOM. Ini tak ada orang buat, saya pegang dua-dua badan besar serentak tanpa ada bayaran.

Arwah ibu dan bapa jadi pembakar semangat

Saya dapat gelaran Tan Sri hari Isnin 17 Ogos 2020. Bapa saya meninggal Rabu sebelumnya, minggu lalu. Mak saya pula kembali ke rahmatullah lima tahun lepas. Masa meninggal dunia, bapa saya berusia 83 tahun. Dia sakit buah pinggang dan perlu dialisis.

Jadi perasaan saya bercampur baur apabila dapat pengiktirafan itu sedangkan baru tiga atau empat hari sebelum itu, bapa saya meninggal dunia. Namun, saya yakin dan percaya sebab ibu bapa saya dua-dua cikgu sekolah rendah. Jadi ini kejayaan mereka untuk seorang anak sampai ke peringkat Tan Sri sedangkan dalam saudara-mara saya tak pernah yang dapat gelaran Datuk.Jadi bagi saya, saya rasa ibu bapa saya bangga. Jadi didikan itu didikan anak cikgulah. Bila kita bermula dari bawah, dengan ibu bapa yang bukan orang senang, kita kena lengkapkan diri dengan kerja kuat dan bina persahabatan. Sebab kita tak ada bawa wang ringgit untuk kita pergi ke depan. Insya-ALLAH dengan didikan ibu bapa saya itu, saya akan teruskan kerja kuat saya dalam bidang sukan.

Mohamad Norza berkongsi suka duka selama lebih dua tahun menerajui MOM.

PROFIL

Nama: Tan Sri Mohamad Norza Zakaria

Tarikh lahir: 29 Ogos1966

Asal: Alor Gajah, Melaka

Adik-beradik: Anak pertama daripada lima beradik

Nama isteri: Puan Sri Zulaiha Zainal Abidin

Bilangan anak: Dua orang

Profesion/ jawatan: Ahli perniagaan dan presiden persatuan sukan

Latar akademik:

Fellow Certified Practicing Accountants FCPA from CPA Australia

Chartered Accountant (Akauntan Bertauliah) Malaysian Institute of Accountants (MIA)

Bachelor of Commerce (Major in Accounting) the University of Wolongong, NSW, Australia