KAJANG - Tiga lelaki ditahan kerana disyaki terlibat dalam perlumbaan haram dalam Operasi Samseng Jalanan di Eco Hill, Semenyih, kira-kira jam 1 pagi tadi.
Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan (Penguatkuasaan/Kawalan Lalu Lintas/Pengurusan Saman) Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Nadzri Hussain berkata, mereka ditahan kerana memandu laju sambil melakukan aksi bersaing sesama sendiri menghala ke arah Eco Hill 2 Link serta membuat pusingan sebanyak dua kali.
Iklan
Iklan
"Kesemua pemandu kereta berusia 30 hingga 35 tahun di bulatan Eco Hill 2 Link. Kita juga menyita kenderaan mereka dan kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) dan Seksyen 61 Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya kepada Sinar Harian, hari ini.
Sementara itu dalam kes berasingan Mohd Nadzri memaklumkan, pihaknya turut menyita tiga buah kereta Honda Accord, sekitar jam 1.15 pagi.
"Kita mendapati tiga buah kereta yang dipandu oleh dua lelaki dan seorang wanita datang dari arah Plaza Tol Eco Hill menghala ke Beranang dalam keadaan mencurigakan.
"Hasil pemeriksaan mendapati nombor enjin asal tidak sama dengan nombor enjin kereta yang tertera di kesemua kenderaan tersebut," katanya.