BIARPUN bakal memulakan perlumbaan pada petak kesebelas, pelumba MotoGP Petronas Yamaha SRT, Franco Morbidelli tetap menyasarkan untuk memulakan dan menamatkan perlumbaan dengan baik sempena Grand Prix (GP Styria) hari ini.
Morbidelli berkata, dia juga mahu menamatkan perlumbaan pada kedudukan terbaik bagi meraih mata sebanyak mungkin dalam siri Kejuaraan Dunia.
"Kami akan bermula pada petak kesebelas daripada 10 petak dan ia sebenarnya bukanlah sesuatu yang tidak baik.
"Cuma kami berharap untuk memulakan perlumbaan dan seterusnya menamatkan perlumbaan dengan baik,” katanya.
Mengulas mengenai keadaan litar Red Bull Ring yang bakal diharunginya hari ini Morbidelli berkata, litar berkenaan sebenarnya agak aneh terutamanya ketika hujan.
Justeru menurutnya, dia perlu berhati-hati ketika berlumba nanti dan berharap perlumbaan hari ini tidak berlangsung dalam hujan.
Sementara itu, rakan sepasukannya Fabio Quartararo menyasarkan untuk menamatkan perlumbaan kali ini dalam kelompok enam pelumba terbaik.
Katanya, sasaran itu diyakini mampu direalisasikan dengan memberikan sepenuh tumpuan pada perlumbaan kali ini.
"Kedudukan keenam dilihat seperti satu kedudukan yang bagus untuk kami memandangkan kami akan bermula dari P10, P11 kali ini.
"Apa pun kami akan tetap cuba memberikan yang terbaik untuk merealisasikan hasrat menamatkan perlumbaan dalam kelompok enam pelumba terbaik,” katanya.