Tak ramai orang Melaka guna VSP

Iklan
Raja Shahrom (tengah) bertemu dengan orang ramai ketika Majlis Perasmian Kempen Cegah Jenayah dan Rumah Selamat sempena Tahun Baru Cina di Jonker Walk.

MELAKA TENGAH - Orang ramai negeri ini disarankan menggunakan aplikasi Volunter Smarphone Patrol (VSP) bagi memaklumkan kepada polis mengenai ketiadaan mereka di rumah sempena cuti Tahun Baru Cina, Februari ini.

Ketua Polis Melaka, Datuk Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, lebih 500,000 orang ramai di seluruh negara memuat turun aplikasi berkenaan dan dianggarkan 30,000 daripadanya adalah pengguna negeri ini sejak aplikasi itu diperkenalkan dua tahun lalu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pihaknya akan terus menguar-uarkan kepada orang ramai menggunakan VSP yang dilengkapi teknologi terkini hingga membolehkan masyarakat menyalurkan maklumat dengan cepat termasuk seperti memaklumkan kepada polis mengenai keselamatan dan jenayah yang berlaku.

"Setakat ini masih agak kurang yang menggunakan VSP dan kita dapati masyarakat tidak menggunakan ia semaksimumnya, jadi saya ingatkan kembali orang ramai supaya menggunakan VSP.

Iklan

"Apa yang penting penggunaan aplikasi itu lebih mudah dan cepat berbanding mengisi borang balik kampung di balai polis berhampiran untuk memaklumkan ketiadaan mereka di rumah,” katanya

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Kempen Cegah Jenayah dan Rumah Selamat sempena Tahun Baru Cina, di Jonker Walk, Banda Hilir, di sini, semalam.

Iklan

Hadir sama, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd Nor Yhazid Idris dan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad.

Raja Shahrom berkata, walaupun statistik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah mencatatkan penurunan sebanyak 47 kes bagi jenayah harta benda pada tahun lalu berbanding tahun 2017 namun kes pecah rumah menunjukkan peningkatan sebanyak 24 kes iaitu 5.46 peratus dalam tempoh sama.

"Kes pecah rumah sering berlaku bila rumah tidak berpenghuni tidak kira siang atau malam dan orang ramai yang akan meninggalkan rumah sepanjang musim perayaan ini dapat memaklumkan kepada polis termasuk menggunakan VSP.

"Saya yakin usaha dan langkah pencegahan seperti ini dapat membantu polis membendung sekali gus mengurangkan kes pecah rumah pada musim perayaan,” katanya.