PENGKALAN HULU - Sembilan sekeluarga tinggal sehelai sepinggang selepas rumah mereka di Lorong Pertama, Kampung Bukit Buluh musnah terbakar malam tadi.
Kejadian kira-kira jam 9.20 malam itu berlaku ketika keluarga berkenaan keluar untuk makan malam di sebuah kedai makan berhampiran sebelum menerima gambar rumahnya yang dihantar oleh jirannya menerusi pesanan WhatsApp.
Mangsa, Siti Hajar Ghazali, 45, berkata, beliau hanya mampu menangis ketika pasukan penyelamat berusaha memadamkan kebakaran yang memusnahkan 60 peratus rumahnya.
"Belum sempat kami memesan makanan, saya terima gambar rumah yang sedang terbakar. Kami bergegas balik dan lihat api sedang marak membakar rumah.
"Saya tidak mampu berkata apa-apa melainkan menangis apabila rumah PPRT (Projek Perumahan Rakyat Termiskin) yang kami diami musnah. Baju sekolah milik lima anak saya pun terbakar. Tiada apa pun yang tinggal," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.
Siti Hajar yang mengalami kerugian lebih RM30,000 kini tinggal sementara di Dewan Orang Ramai Kampung Bukit Buluh.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Hulu, Penolong Penguasa Bomba Syahirul Anwar Abdul Azam berkata, seramai 17 anggota termasuk bantuan dari Balai Bomba dan Penyelamat Baling, Kedah bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan.
"Setibanya di tempat kejadian, api sedang marak membakar rumah separuh kekal itu dan anggota melakukan pemadaman menggunakan aliran air sehingga selesai sepenuhnya.
"Kejadian itu bagaimanapun tidak melibatkan mangsa. Operasi tamat pada jam 10.50 malam," katanya.