KUALA TERENGGANU - Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican diminta campur tangan susulan keputusan Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) tidak membenarkan dua atlet dari Terengganu menyertai Sukan Malaysia (Sukma) di Johor pada Mac tahun depan.
Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, pihaknya kesal kerana alasan diberikan PABM berkaitan isu doping yang dihadapi kedua atlet berkenaan dalam Sukma di Perak dua tahun lalu tidak munasabah.
"Kedua-dua atlet itu menjalani tempoh hukuman yang ditetapkan iaitu digantung selama lapan bulan bermula September sehingga Mei 2019 serta sudah memulangkan kembali pingat-pingat yang diperoleh kepada Majlis Sukan Negara Malaysia (MSNM).
"Kedua-dua atlet ini memulangkan satu pingat emas, satu perak dan dua gangsa yang dimenangi dalam Sukma pada 2018. Mereka juga menjalani tempoh penggantungan,” katanya pada sidang media di Wisma Darul Iman di sini hari ini.
Menurutnya, kedua-duanya juga mengikuti beberapa program pendidikan serta telah dibenarkan bertanding dalam kejohanan di peringkat negeri dan antarabangsa selepas tamat tempoh pergantungan
"Kita hairan, mengapa mereka tidak dibenarkan bertanding dalam Sukma di Johor sebaliknya membenarkan salah seorang daripada mereka mewakili negara dengan menyertai Program Latihan Atlet Negara (Atlet Kebangsaan). Ini adalah keputusan yang tidak adil bagi negeri Terengganu
Katanya, beliau menuntut satu penjelasan munasabah berhubung perkara tersebut serta tidak mahu wujud perancangan lain di sebalik keputusan yang diputuskan oleh badan induk itu.
"PABM sepatutnya memperjuangkan nasib atlet-atlet negara tanpa mengira dari negeri mana mereka lahir atau bertanding, bukannya menghukum secara tidak berprinsip.
"Oleh itu, bagi mengelak isu ini bertambah keruh, pihak kami meminta Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican masuk campur kerana kita di Terengganu mahukan keadilan dalam hal ini,” katanya.
Terdahulu, pingat yang diraih dua atlet berkenaan, Nurul Afiqah Muhammad Zamzuri dan Muhammad Azfar Kamaruddin dalam Sukma ke-19 di Perak pada September 2018, ditarik balik pihak penganjur kerana didapati bersalah mengambil bahan terlarang jenis 'methylhexanamine' yang diambil melalui makanan tambahan.
Selain itu, badan induk itu juga turut menggantung kedua-dua atlet terbabit selama lapan bulan daripada beraksi dalam mana-mana pertandingan.