'Terima kasih atas ruang dan peluang'

Iklan
Radzi Jidin

KUALA LUMPUR - Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Dr Radzi Jidin berterima kasih kepada semua perwakilan yang memberikannya kepercayaan untuk berada dalam barisan kepimpinan parti itu melalui pemilihan Majlis Pimpinan Tertinggi bagi penggal 2019-2022.

Menteri Kanan Pendidikan itu dalam catatan di laman Facebook beliau turut mengucapkan tahniah kepada semua kepimpinan dan perwakilan Bersatu di seluruh negara atas kejayaan melaksanakan persidangan di bahagian masing-masing.

Iklan
Iklan

"Setinggi-tinggi terima kasih saya ucapkan kepada perwakilan yang telah memberikan saya ruang dan peluang untuk berkhidmat sebagai Naib Presiden Bersatu. Saya menerima amanah ini dengan penuh keinsafan dan akan melaksanakannya sebaik mungkin," katanya.

Turut merakamkan penghargaan kepada perwakilan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee yang juga telah dipilih sebagai Naib Presiden parti dan berikrar akan menggalas amanah dengan penuh tanggungjawab dalam memperkasa parti, rakyat dan negara.

Iklan

"Ini adalah tanggungjawab yang besar, dan akan terus berusaha untuk memberikan yang terbaik kepada kejayaan parti," kata Menteri Pertanian dan Industri Makanan itu menerusi laman sosial rasminya.

Terdahulu Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan parti Tan Sri Syed Hamid Albar hari ini mengumumkan Radzi, Kiandee dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen dipilih sebagai tiga Naib Presiden Bersatu.

Iklan

Seramai 23,438 perwakilan telah mengundi pada persidangan bahagian yang berlangsung di seluruh negara semalam.

Pada pemilihan julung kali diadakan itu, perwakilan turut memilih Pengerusi Tetap, Timbalan Pengerusi Tetap, Presiden, Naib Presiden dan 20 Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi. - Bernama