Ramli terkilan, Manogaran tidak peka

Iklan
Ramli (duduk) dan Ismail Sabri (dua, kanan) bersama pengundi yang telah selesai mengundi di SK Betau hari ini.

LIPIS — Calon BN, Ramli Mohd Nor terkilan dengan tindakan calon PH, M. Manogaran yang memakai baju berlogo parti itu di perkarangan pusat pengundian di Pos Sinderut pagi tadi.

Ramli ketika ditemui memberitahu tindakan calon terbabit dilihat tidak peka dengan peraturan pilihanraya yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Iklan
Iklan

"Dia lebih berpengalaman daripada saya.Dia sudah tiga kali bertanding. Saya baru pertama kali (bertanding). Jadi sekarang ini, saya biarkan orang ramai menilai,” katanya lagi.

Beliau ditemui di luar perkarangan pusat pengundian Sekolah Kebangsaan (SK) Betau sebentar tadi.Hadir sama Pemangku Timbalan Presiden Umno, Datuk Ismail Sabri Yaakob.

Iklan

Dalam pada itu, Ramli turut melahirkan keyakinan yang tinggi sokongan pengundi terhadap BN berdasarkan tinjauannya ke beberapa pusat pengundi sejak pagi tadi.

Sementara itu, Ismail Sabri Yaakob turut mempersoalkan tindakan Manogaran yang disifatkan sebagai sengaja mencabar akta SPR.

Iklan

Tegasnya, tindakan terbabit jelas bertentangan dengan akta SPR dan pelbagai tindakan bertentangan telah dilakukan sejak hari pertama kempen PRK tersebut bermula.

"Sejak bermula hari penamaan calon hingga hari ini, sudah banyak tindakan telah dikesan seperti pengedaran duit minyak, penggunaan kenderaaan pihak kerajaan, pemberian sumbangan dan bantuan secara terbuka, serta ugutan terhadap para tok batin.

"Lebih malang lagi calon (PH) itu ke tempat pengundian dengan logo (parti) sedangkan itu jelas dalam akta SPR tidak ada logopun boleh berada dalam lingkungan 50 meter dari tempat pengundian dan dia berada dalam pusat pengundian.

"Ini jelas menunjukkan kerajaan PH hari ini tak mempedulikan apa peraturan dan undang-undang dan mereka buat apa yang mereka suka walaupun bantahan dan laporan polis telah dibuat BN sejak mula,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bera itu turut meminta badan bukan kerajaan (NGO) seperti Bersih yang dahulunya lantang ketika pemerintahan kerajaan BN bersuara dan menegur tindakan pihak terbabit.

"Saya harap Bersih jangan hanya berarak di jalan raya sewaktu (kerajaan ) BN yang mereka katakan kurang bersih, tapi sekarang ini jelas ‘kotor’ berlaku secara terbuka.

"Malah sehingga kini tiada sebarang kenyataan daripada Bersih ataupun mana-mana NGO lain,” katanya.