Sulaiman ambil tanggungjawab kekalahan The Varsity Boys

Iklan
Pertahanan UKM FC (kanan) cuba mengekang kemaraan pemain Kelantan pada perlawanan di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS), semalam. - Foto FB Kelantan FA

KETUA Jurulatih UKM FC, Sulaiman Hussin mengambil sepenuhnya tanggungjawab susulan kekalahan besar 5-1 The Varsity Boys kepada Kelantan pada aksi Liga Premier di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS), semalam.

Menurut Sulaiman, anak buahnya telah memberikan aksi terbaik sepanjang perlawanan, namun beberapa kesilapan dilakukan pemain akhirnya menyaksikan tuan rumah terpaksa berputih mata pada aksi di gelanggang sendiri itu.

Iklan
Iklan

"Full responsible (tanggungjawab penuh), saya kena tanggung. Bila kalah kena baiki dan kita ada lagi tujuh perlawanan dan ia bukannya penghujung hari.

"Perlawanan selepas ini adalah menentang Kuala Lumpur dan kita kena bangkit. Lagipun kita kekurangan pemain dan dalam peraturan hanya pemain yang berada dalam senarai asal (perlawanan asal 6 Mac lalu) yang boleh beraksi.

Iklan

"Disebabkan belenggu kecederaan dan sebagainya, hanya tinggal seorang pemain. Selain itu Kelantan dilihat lebih bernafsu berbanding kita dan ini selalu saya katakan walaupun memiliki pelbagai masalah, Kelantan akan datang all out, kalau kita ambil mudah kita pula akan ada masalah,” katanya sejurus tamat perlawanan semalam.

Untuk rekod perlawanan kedua-dua pasukan adalah satu perlawanan yang ditunda sejak 6 Mac lalu apabila perlawanan tersebut terpaksa dibatalkan pada minit keenam akibat faktor cuaca.

Iklan

Pada perlawanan berkenaan, Muhamad Hakimi Abdullah mencatat hatrik apabila menjaringkan gol pada minit ke-27, 53, 89 manakala dua lagi gol dijaringkan oleh pemain import, Felix Chidi Odile pada minit ke-65 dan 80.

Gol saguhati UKM FC dijaringkan pemain import Akanni Sunday Wasiu yang menyempurnakan sepakan penalti pada penghujung babak pertama.

Sementara itu, Sulaiman berkata, dia tidak mahu menuding jari kepada mana-mana pemain berhubung kekalahan berkenaan.

Katanya, masih ada lagi tujuh perlawanan yang perlu diharungi dan mahu setiap pemain memberikan fokus dalam usaha mencatatkan keputusan terbaik dalam semua perlawanan berkenaan.

"Saya tak salahkan pemain, mereka telah berusaha walaupun bermula agak lewat dan pemain yang saya berikan peluang untuk beraksi kali ini.

"Cuma kesilapan yang mudah empat gol dari kanan itulah antara faktor yang gagalkan kita hari ini. Tahniah kepada Kelantan. Anda berhak menang,” katanya.