MUKA pucat ketika membuat pemeriksaan di hospital pada 23 Julai tahun lalu menjadi sebab penulis diwadkan serta-merta.
Menurut doktor, jumlah sel darah merah (hemoglobin atau Hb) penulis di bawah paras normal.
Kadar hemoglobin normal pada wanita dewasa antara 12–15 g/dL manakala lelaki dewasa antara 13–17 g/dL.
Selama tiga hari dua malam berada di wad, dua pain atau dua beg darah dimasukkan. Alhamdullilah, Hb darah meningkat walaupun masih di bawah paras normal.
Semasa di wad, sempat juga penulis bertanyakan kepada jurururawat,"mahal tak harga darah ini?”
"Lebih kurang harga nyawa puan,” kata jururawat sambil tersenyum.
"Susah kalau nak bayar,” jawab penulis.
"Bayarlah dengan darah juga, derma darah bila dah sihat. Kalau tak pun, minta suami atau keluarga menderma,” balas jururawat sambil mencucuk tangan penulis dengan jarum.
Penulis tak pernah menderma darah. Sejujurnya, penulis takut. Pernah sekali penulis teman kawan ke hospital untuk menderma darah, kononnya nak juga cuba menderma.
Malang sekali, hajat tak kesampaian sebab penulis terasa mual dan hampir pitam melihat beg-beg darah yang ada di bilik itu. Saat menulis analisis ini pun, penulis masih terasa kemualan itu.
Untuk anda yang mampu, dialu-alukan berbuat demikian kerana Pusat Darah Negara (PDN) memerlukan 2,000 beg darah setiap hari.
Ini bermakna seramai 2,000 penderma diperlukan untuk menderma darah setiap hari.
Penyelamat
Menurut laporan Sinar Harian pada 7 Ogos lalu, PDN meminta orang ramai terutama yang mempunyai darah kumpulan A dan B agar tampil menderma darah.
"Selaras dengan perkembangan situasi Covid-19 dalam negara ketika ini, bekalan darah semakin diperlukan dan derma darah secara berkala amat penting bagi menampung keperluan darah setiap hari.
"Jalankan tanggungjawab sosial anda bagi membantu menyelamatkan nyawa pesakit yang memerlukan. Mereka yang berminat boleh memeriksa lokasi pendermaan darah yang dianjurkan PDN melalui malan web rasmi PDN atau ke pusat kutipan darah statik di kawasan Lembah Klang dan Putrajaya,” kata kenyataan itu.
Penulis tabik kepada penderma darah. Amran Ibrahim, Ithnain Mohd Som, Lans Koperal Zakaria Omar, Mansor Puteh dan Noorshafry Abdul Malik yang menjadi antara individu yang sudah beratus kali menderma darah.
Mereka inilah 'unsung heroes'. Bagi anda di luar sana, kalau nak jadi hero, dermalah darah. Sebagai penderma, anda akan menerima pelbagai manfaat kesihatan.
Menderma darah juga dapat menggantikan sel-sel darah yang baharu sekali gus mengekalkan kecergasan dan menjadikan perderma lebih produktif dalam melakukan kerja.
Yang 'best' bila menderma darah, anda boleh mengurangkan kalori di dalam badan (boleh lah kekal langsing).
Bagaimanapun, yang paling utama selain menyelamatkan nyawa tanpa mengira agama dan bangsa, ia juga boleh dianggap sebagai suatu sedekah dan terdapat pahala dalam bersedekah.
Jika anda berumur 17 tahun ke atas, mempunyai berat badan melebihi 45 kilogram dan sihat tubuh badan, anda layak untuk menderma.
Tak sakit sangat pun, mungkin berasa sakit sedikit masa jarum dimasukkan dan tidak lagi selepas itu.
Proses derma darah pun tak lama, antara 7 ke 10 minit dan hanya lebih kurang 1 pain (586ml) darah akan diambil, tapi jangan bimbang kerana dalam masa 24 jam, plasma darah akan diganti semula.
Lagipun, orang dewasa biasanya mempunyai 5 liter (10-12 pain) darah dalam badan. Dalam jangka masa 4 hingga 8 minggu, darah merah akan digantikan dan anda boleh menderma semula selepas itu.
Bagi menggalakkan masyarakat menderma darah, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan 14 Jun sebagai Hari Derma Darah Sedunia dan untuk penderma yang darah mereka sekarang ini sedang mengalir di dalam tubuh penulis, terima kasih diucapkan.
* Pupe Rahaizad Darsono ialah Penyunting Unit Pemerolehan Berita Sinar Harian