KUALA SELANGOR - Seorang wanita bersama dua anaknya maut apabila kereta dinaiki mereka terlibat kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 37 Jalan Klang - Teluk Intan di sini malam tadi.
Kejadian jam 10.45 malam tadi itu mengakibatkan mangsa, Anni Kholilah, berusia 42 tahun, dan dua anaknya, Nurkhalisah Ali Yusri, 24, dan Nur Syafiqah Ali Yusri, 17, masing-masing beralamat di Taman Puchong Utama, Puchong, meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, siasatan awal mendapati kereta jenis Honda City dipandu Nurkhalisah dari Sekinchan menghala ke Port Klang, manakala pacuan empat roda jenis Nissan Frontier dipandu seorang lelaki berusia 40 tahun dari arah Klang menghala ke Kuala Selangor.
"Sejurus tiba di tempat kejadian Nissan Frontier dikatakan masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan Honda City berkenaan.
"Sementara itu, Perodua Viva yang dipandu seorang lelaki berusia 24 tahun yang berada di belakang Honda City cuba mengelak kenderaan berkenaan telah melanggar bahagian sisi hadapan kanan Nissan Frontier," katanya.
Ramli berkata, akibat kemalangan itu, kesemua mangsa yang menaiki Honda City maut di tempat kejadian.
"Ketiga-tiga beranak itu dibawa ke Hospital Tanjong Karang untuk dibedah siasat,manakala pemandu Nissan Frontier yang kritikal dikejarkan ke hospital sama sementara pemandu Perodua Viva tidak mengalami kecederaan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.