KOTA BHARU - Kasih kakak hingga ke syurga. Itulah yang dibuktikan Rahmah Omar, 56, apabila beliau tidak pernah sesekali meninggalkan adiknya yang kini terlantar dan tidak mampu menguruskan diri.
Ramli Omar, 54, hanya menunggu disuapkan makan dan minum kerana tidak boleh bergerak akibat menderita sakit saraf sejak 10 tahun lalu selepas terjatuh dalam tandas di rumahnya di Kampung Ekor Pasir, di Tendong.
Ramli yang tidak pernah berkahwin kini bergantung harap kepada kakaknya selain dibantu suami Rahmah dan anaknya.
"Saya tidak pernah menganggapnya sebagai satu bebanan malah merupakan anugerah ALLAH SWT serta tanggungjawab sebagai kakak sulung dalam keluarga,” katanya ketika ditemui di rumahnya.
Menurut Rahmah, disebabkan adiknya bergantung tenaga sepenuhnya kepada ahli keluarga lain, beliau mengakui terpaksa menggendong adiknya itu sebelum ini untuk membawanya ke bilik air.
"Mujur ada suami dan anak lelaki saya yang kebetulan sekarang ini ada di rumah. Kalau harapkan kudrat saya, hanya mampu melakukan yang terdaya saja,” katanya.
Bantuan Maik ringankan beban
Julai lalu, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) diketuai Pegawai Komunikasi dan Korporat, Mohd Norhisham Abdullah dan Pegawai Wakaf, Shakirah Mohamad berkunjung ke kediaman Rahmah bagi menyerahkan Sijil Wakaf Kesihatan dan juga zakat kepada Ramli.
Rahmah yang terharu dengan keprihatinan Maik turut bersyukur kerana urusan bantuan dipermudahkan oleh pihak tersebut.
Menurutnya, sebelum ini, ketika beliau ke pejabat Maik untuk membuat permohonan zakat, pihak terlibat turut menasihatkannya memohon bantuan Wakaf Kesihatan.
Apa yang menggembirakan katanya, pihak Maik dengan segera menyumbangkan bantuan katil pesakit untuk Ramli selepas permohonan tersebut dibuat yang disifatkan sebagai salah satu keperluan untuk memudahkannya menguruskan adiknya itu.
"Syukur, dengan adanya katil ini, banyak urusan saya dipermudahkan. Mandi, makan, semuanya dapat dilakukan dengan sempurna. Sebelum ini agak susah sebab dia hanya terbaring di bilik.
"Sekarang ini saya boleh tolak katil ke bilik mandi dan tidak perlu lagi mendukungnya. Saya tahu dia akan sakit setiap kali kami mengangkatnya,” katanya yang bekerja sebagai peniaga di Pasar Siti Khatijah.
Rahmah memberitahu, beliau turut bercucuk tanam bagi menampung pendapatannya sekeluarga termasuk untuk membayar kos rawatan adiknya.
Jelasnya, jika ada yang memberikan sumbangan, ia akan digunakan sepenuhnya untuk keperluan Ramli terutama untuk membeli susu dan lampin pakai buang kerana tidak mempunyai dana lain selain bantuan diterima Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Ramli juga turut berterima kasih kepada Maik atas keprihatinan dan sumbangan agensi dalam membantu meringankan beban mereka sekeluarga.
Misi bantuan
Sementara itu, Shakirah berkata, program Wakaf Kesihatan Maik bertujuan membantu golongan yang layak menerusi hasil sumbangan orang ramai.
"Wakaf aset iaitu premis atau rumah kedai yang disewakan akan dimanfaatkan semula kepada rakyat dari Unit Wakaf berbentuk katil. Bagi kes Ramli ini, kita serahkan juga duit zakat untuk pembelian ubat dan keperluan lain,” katanya.
Sejak dilaksanakan, Maik mempunyai 10 katil dan memberi manfaat kepada lebih 25 orang pesakit yang terdiri daripada golongan asnaf secara bergilir-gilir.
Ketika ditanya mengenai maklumat pesakit, Shakirah berkata, pihaknya sentiasa mendapatkan perkembangan terkini daripada Unit Agihan Maik dan pegawai penyiasat bertugas atau melalui pihak hospital bagi mengenal pasti yang memerlukan wakaf katil tersebut.
Dalam masa sama, beliau turut menggalakkan orang ramai untuk terus menyokong usaha Maik dan bersama-sama mencari pahala berwakaf untuk membantu golongan memerlukan tanpa sangsi.