KUALA LUMPUR - Kes melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 yang lebih serius akan dikendalikan oleh pihak berkuasa terlibat seperti polis dan badan perundangan.
Timbalan Menteri Kesihatan I Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, di peringkat Kementerian Kesihatan (KKM), kompaun maksima yang dikenakan ialah RM1,000 berdasarkan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 Seksyen 25.
"Kalau kes melalui Seksyen 24 dan dihadapkan ke mahkamah, maka mereka (polis dan mahkamah) akan membuat keputusan selayaknya untuk sesuatu kesalahan yang dilakukan.
"Berkenaan dengan SOP yang dilanggar ini, tiada sesiapa yang terlepas daripada tindakan undang-undang sebab undang-undang ini dibuat bukan untuk mendera sesiapa tetapi untuk menyelamatkan negara dan nyawa manusia khususnya di negara ini,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Nik Nazmi Nik Ahmad (PH-Setiawangsa) mengenai ketidakpatuhan orang kenamaan (VIP) seperti menteri dan jika mereka perlu diberi kompaun yang lebih besar memandangkan mereka menjadi contoh kepada rakyat.
Mengulas mengenai vaksin Sputnik-V yang dihasilkan oleh Rusia, Noor Azmi berkata, kerajaan masih menunggu laporan seterusnya dari negara berkenaan.
"Maklumat menyatakan vaksin ini belum lagi didaftarkan dan Rusia mahu mengadakan ujian klinikal fasa ketiga. Jadi maknanya dari segi fasa klinikal yang perlu dilalui oleh sesuatu vaksin sebelum diluluskan adalah tidak mencukupi.
"Hari ini, perlumbaan vaksin berlaku di seluruh dunia, 165 vaksin sedang dibangunkan, 65 telah melalui fasa klinikal dan hanya tujuh sahaja pada fasa klinikal yang terakhir.
"Jadi pembangunan vaksin memerlukan masa lama dan kajian teliti sebelum dapat digunakan oleh dunia kerana kita hendak keselamatan dan keberkesanan sesuatu vaksin itu,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh (Bersatu-Sabak Bernam) yang ingin tahu sejauh mana kerajaan memantau perkembangan penyelidikan vaksin oleh Rusia.
- Bernama