PENGENDALI Bayern Munich, Hansi Flick mengakui pasukannya menampilkan persembahan yang luar biasa sepanjang kempen Liga Juara-Juara musim ini sekali gus berjaya merangkul trofi tersebut selepas menewaskan Paris Saint Germain (PSG) 1-0 dalam aksi final, awal pagi tadi.
Menurutnya, dia berbangga dengan persembahan yang dipamerkan pemainnya selain menyifatkan mereka melalui fasa pembangunan pasukan yang sangat luar biasa.
"Saya masih ingat ketika saya mengambil alih jawatan pengendali pasukan pada November tahun lalu dan saya melihat berita di akhbar, semua yang saya baca adalah Bayern merupakan sebuah pasukan yang lemah dan tiada siapa yang takutkan kami lagi.
"Selepas itu kami melakukan perubahan dalam pasukan dan perkembangannya cukup luar biasa. Anda boleh lihat bagaimana kami cuba berubah dalam latihan kem musim sejuk pada Januari lalu.
"Sekarang, semuanya telah berhasil dan kami telah berjaya merangkul trofi paling diidamkan di Eropah," katanya.
Dalam perlawanan yang berlangsung di Lisbon itu, pemain sayap Bayern, Kingsley Coman menjaringkan gol tunggal yang menjadi gol kemenangan Bayern pada minit ke-59 untuk memastikan kejuaraan Liga Juara-Juara menjadi milik kelab gergasi Jerman itu buat kali keenam.
Kejayaan menjulang trofi Liga Juara-Juara itu juga menyaksikan Bayern berjaya meraih kejuaraan treble musim ini selepas turut memenangi kejuaraan Bundesliga dan Piala Liga Jerman.
Dalam masa sama, Flick mengakui sedikit terkilan kerana Bayern meraikan kejuaraan tersebut tanpa kehadiran peminat kerana masih terikat dengan situasi pandemik Covid-19.
"Saya sangat bersimpati kerana penyokong tidak dapat bersama kita hari ini. Saya mengharapkan penyokong dapat diberikan peluang pada masa akan datang.
"Harus diakui perlawanan seperti ini tanpa kehadiran penyokong adalah bukan permainan bola sepak yang sebenar," katanya.