Sultan Selangor bimbang peningkatan kes rasuah, salah guna kuasa

Iklan
Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj. - Foto Royal Selangor Office

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menzahirkan kebimbangan terhadap peningkatan kes rasuah dan penyalahgunaan kuasa dalam kalangan pegawai dan kakitangan jabatan penguatkuasaan kerajaan khususnya di Selangor.

Menerusi kenyataan dikeluarkan Istana Alam Shah hari ini, Sultan Sharafuddin bertitah, tindakan segelintir pihak yang terlibat dalam jenayah tidak bermoral itu mencemarkan reputasi, imej kerajaan dan pihak berkuasa terlibat.

Iklan
Iklan

"Laporan media yang meluas mengenai kesalahan jenayah rasuah yang dilakukan ini menggambarkan penolakan rakyat terhadap perbuatan yang boleh menjejaskan kelicinan pentadbiran kerajaan.

"Seandainya gejala rasuah ini terus berlaku dengan berleluasa, ia akan menyebabkan hilangnya kepercayaan rakyat terhadap kemampuan jabatan penguatkuasa ini dalam melaksanakan tindakan undang-undang negara," titah baginda.

Iklan

Sultan Selangor turut menasihatkan pegawai dan kakitangan penguat kuasa di semua pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan jabatan kerajaan lain menguatkuasakan undang-undang.

Baginda juga mahu kakitangan kerajaan tidak sesekali tidak terlibat dengan rasuah termasuk aspek penyalahgunaan kuasa bagi kepentingan diri atau pihak tertentu ketika melaksanakan tugas penguatkuasaan.

Iklan

Baginda juga menyeru penguat kuasa menjalankan tugas dan tanggung jawab dengan berhemah dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

"Mereka perlu bersikap adil kepada semua pihak ketika tindakan penguatkuasaan dilakukan.

"Sikap berhemah dalam mengambil sesuatu tindakan perlu sentiasa diutamakan demi memelihara ketenteraman dan keamanan awam.

"Laksanakanlah tanggung jawab anda semua dengan penuh amanah demi rakyat dan negara," titah baginda.