ROMELU Lukaku bertekad bangkit lebih bersemangat mengharungi saingan musim baharu selepas insiden gol sendiri yang menyaksikan Inter Milan tewas 3-2 kepada Sevilla pada final Liga Europa di Colonge baru-baru ini.
Bekas tonggak Manchester United itu berkata, dia cukup terkesan insiden minit ke-74 sekali gus meranapkan harapan jagoan Serie A berkenaan untuk menamatkan kemarau selama 10 tahun kejuaraan Eropah, memuji semangat kekeluargaan dalam kalangan pemain-pemain Inter yang membantunya.
Menurutnya, insiden di Stadium Rhein Energie sememangnya memberi impak, namun sokongan padu pemain-pemain Inter banyak membantu mengembalikan keyakinannya untuk kembali bangkit.
"Pertama sekali saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pemain-pemain Inter atas sokongan semua sepanjang saya dan keluarga mengharungi tempoh yang sukar ini.
"Apa yang berlaku ini tidak akan mematikan semangat saya dalam meneruskan karier bola sepak saya pada masa depan. Saya akui bahawa kehidupan ini bukan sesuatu yang indah dan mudah, sebaliknya pengalaman ini akan menjadikan kita lebih matang setiap hari.
"Pencapaian Inter pada musim ini adalah sesuatu yang boleh dibanggakan hasil kerjasama dan komitmen semua pemain-pemain kelab ini. Secara jujur menjadi satu penghormatan dapat mewakili Inter kelab yang saya sokong sejak pada usia kanak-kanak lagi,” kata bekas pemain Anderlecht, Chelsea, West Bromwich Albion itu.
Pada aksi final Liga Europa sebelum ini, Lukaku tampil cemerlang apabila meletakkan Inter depan selepas menyempurnakan sepakan penalti minit kelima.
Namun ketika kedudukan 2-2 dengan baki 16 minit sebelum perlawanan berakhir, tonggak skuad Belgium itu yang sebelum ini dijulang hero kembali sifar ketika dia cuba menangkis percubaan Diego Carlos yang terbias ke gawang sendiri.
Situasi itu menyebabkan Lukaku amat kecewa dan tidak hadir ke podium untuk menerima medal naib juara kejohanan berkenaan.
Pada masa sama pemain bertubuh sasa berusia 27 tahun itu menegaskan:"Inter Milan tidak akan mati selepas final Liga Europa tempoh hari sebaliknya kami akan lebih matang dalam permainan kami selepas ini.
"Untuk saingan musim depan ikrar kami hanya satu iaitu kami akan berikan saingan lebih sengit.”