SHAH ALAM - Polis tidak menerima sebarang laporan mengenai kebocoran data peribadi melibatkan kira-kira 1.16juta pelajar dan alumni Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharuddin Mat Taib berkata, sehingga kini tiada laporan polis diterima daripada pihak UiTM berhubung isu kebocoran data itu.
"Berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan oleh UiTM, tidak berlaku sebarang ketirisan data peribadi student (pelajar) dan setakat ini tiada laporan polis dibuat,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Semalam Naib Canselor UiTM, Prof Emeritus Datuk Dr Hassan Said dalam satu kenyataan berkata, UiTM akan menjalankan siasatan dalaman berhubung dakwaan kebocoran data peribadi pelajar dan alumninya.
Menurutnya, sekiranya didapati perkara itu berlaku, UiTM tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang tidak bertanggungjawab itu.
Hassan bagaimanapun mengesahkan sistem universiti itu tidak digodam atau dijana daripada mana-mana sistem dalaman.
Media sosial semalam digemparkan dengan laporan sebuah portal mengenai data peribadi lebih 1.16 juta dan alumni UiTM dari tahun 2000 hingga 2018 bocor dalaam talian.
Laporan itu yang memetik sumber berkata, data yang bocor termasuk rekod terperinci pelajar dari kampus utama UiTM di Shah Alam dan 13 kampus cawangan di seluruh negara.
Maklumat peribadi yang dikatakan bocor membabitkan ID pelajar, nama pelajar, nombor kad pengenalan, alamat email, kod di kampus, nama kampus, kod program, tahap kursus dan nombor talifon bimbit.
Laporan portal itu berkata, penceroboh data berkenaan berlaku antara Februari hingga Mac tahun lalu.
ARTIKEL BERKAITAN: UiTM siasat kebocoran data peribadi