TANJUNG MALIM - Calon Barisan Nasional (BN), Mohd Zaidi Aziz memperhebat kempen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim dengan memberi tumpuan kepada masyarakat orang asli.
Pada kempen yang masuk hari ke-10 ini, beliau telah beberapa kali mengadakan pertemuan dengan semua penduduk di empat perkampungan orang asli di DUN berkenaan bagi mendalami permasalahan dihadapi mereka.
Menurutnya, dalam lawatan ke empat kampung itu iaitu di Kampung Sungai Teras, Changkat Ramu, Sungai Jentong dan Buluh Seruas didapati sokongan dan penerimaan masyarakat minoriti itu terhadap BN begitu baik.
"Ini adalah kali ketiga saya menziarahi penduduk di kampung-kampung orang asli di sini dan melihat kepada penerimaan mereka.
"Insya-ALLAH saya yakin mereka akan bersama BN pada PRK ini," katanya kepada pemberita ketika mengadakan pertemuan dengan penduduk Kampung Sungai Teras di sini hari ini.
Beliau mengakui, banyak permasalahan diutarakan penduduk orang asli untuk diselesaikan terutamanya isu air, baik pulih rumah dan kemudahan infrastruktur seperti dewan dan padang untuk bermain.
Bagaimanapun katanya, ada antara masalah itu telah diambil tindakan oleh kerajaan negeri dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar.
"Pengundi orang asli di DUN Slim ini sekitar 400 orang sahaja, meskipun begitu kita tetap memberi tumpuan untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi mereka.
"Arwah sendiri pun (Allahyarham Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib) sepanjang menjadi wakil rakyat sangat rapat dan menjaga betul-betul kawasan orang asli ini," katanya.