RAWANG - KDEB Waste Management (KDEBWM) membuat permohonan maaf susulan insiden pemasangan bendera terbalik pada lori sampah milik subkontraktornya seperti yang tular di media sosial hari ini.
Pengarah Urusan KDEBWM, Ramli Mohd Tahir memaklumkan, pihaknya kesal dengan insiden yang tidak disengajakan itu.
Menurutnya, tindakan lanjut akan diambil terhadap pemandu dan subkontraktor tersebut atas kecuaian ketika melakukan pemasangan bendera tersebut.
"KDEBWM memandang serius perkara ini dan tidak akan berkompromi dengan sebarang perilaku yang tidak sepatutnya.
"Semua warga kerja dan subkontraktor akan sentiasa menjunjung tinggi dan menghormati bendera negara kita," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, tular satu rakaman video berdurasi 36 saat yang memaparkan seorang lelaki membuat teguran kepada seorang kontraktor dan pemandu lori sampah berkenaan selepas melihat bendera yang dipasang di bahagian depan lori dalam keadaan terbalik.
Video yang dilaporkan berlaku di Bandar Country Homes Rawang itu menerima hampir 100,000 tontonan dan 4,200 tanda suka selepas tiga jam dikongsi di Facebook.