JKDM perlu siasat lebihan bayaran balik GST RM4.38 juta

Iklan
Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM)

PUTRAJAYA - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) perlu menyiasat lebihan bayaran balik tuntutan cukai barang dan perkhidmatan (GST) berjumlah RM4.38 juta.

Ketua Audit Negara, Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid berkata, Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2019 Pengauditan Pematuhan Kementerian dan Jabatan Persekutuan mendapati berlaku lebihan bayaran tersebut.

Iklan
Iklan

"Siasatan harus dijalankan ke atas syarikat yang membuat tuntutan dan pegawai JKDM yang bertanggungjawab terhadap bayaran balik cukai.

"JKDM disyorkan membuat kutipan balik bayaran terkhilaf berjumlah RM4.38 juta itu daripada orang kena cukai (OKC) terlibat dengan kadar segera," katanya pada sidang akhbar Pembentangan Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2019 Siri 1 di Jabatan Audit Negara di sini hari ini.

Iklan

Sementara itu, menurutnya, laporan sama juga mendedahkan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) masih belum menjelaskan tunggakan bayaran balik cukai bagi tahun taksiran 2017 dan sebelumnya berjumlah RM3.807 bilion.

"Jadi kita syorkan LHDNM perlu memastikan peruntukan yang disalurkan oleh kerajaan digunakan sepenuhnya untuk bayaran balik cukai bagi tahun taksiran 2017 dan sebelumnya.

Iklan

"Mereka juga dicadangkan untuk melaksanakan 'Proses Membenarkan Cukai Pendapatan Dibayar Dahulu dan Audit Kemudian' atau 'Refund First Audit Later' (ReFAL)," katanya.

Katanya, ia agar bayaran balik cukai dapat dibuat dalam tempoh ditetapkan bagi mengelakkan bayaran pampasan atas kelewatan yang diperuntukkan di bawah Seksyen 111D Akta Cukai Pendapatan 1967 (Akta 53).