YAN - Seorang lelaki mengaku mengambil dadah akibat menghadapi tekanan selepas bercerai dengan isterinya, dua tahun lalu susulan dia ditahan dalam serbuan dilakukan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di Kampung Teluk Mat Acheh, pagi tadi.
Ketua AADK Daerah Yan, Mohamad Ramli berkata, lelaki berusia 31 tahun itu antara tiga individu ditahan oleh Unit Penguatkuasaan dan Keselamatan AADK Yan bermula dari jam 10 pagi hingga 12 tengah hari tadi.
"Kita percaya seorang daripadanya adalah rakan se bilik yang menyewa rumah tersebut. Pemeriksaan yang dijalankan mendapati kemungkinan rumah berkenaan menjadi tempat berkumpul serta membungkus dadah, berdasarkan hasil penemuan peralatan seperti tiub straw dan gunting di ruang tamu," katanya.
Menurut beliau, operasi diteruskan apabila pasukan penguat kuasa turut melakukan serbuan dan menahan seorang lagi lelaki di Kampung Bujur.
Kesemua mereka dibawa ke Pejabat AADK Daerah Yan untuk tindakan lanjut.
Hasil saringan air kencing ke atas ketiga-tiga individu tersebut didapati positif dadah jenis opiat dan methamphetamine.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan & Pemulihan) 1983 Pindaan 1998.
Katanya, operasi yang dijalankan bukannya berniat menghukum namun bagi mendekatkan mereka dengan AADK untuk membolehkan mereka mengikuti program pemulihan bersesuaian supaya tidak terus menggunakan dadah sebagai jalan pintas menyelesaikan masalah.