KUALA LUMPUR - Agensi-agensi agama Islam di negara ini boleh memainkan peranan besar dalam misi dakwah yang lebih releven mengikut peredaran semasa.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, pendekatan yang bersesuaian pula akan memberi kesan kepada golongan muda khususnya.
Menurutnya, ia seperti mana usaha yang dilakukan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) menerusi program Semarak Dakwah sempena sambutan Hari Kemerdekaan negara ke-63.
"Kita mahu zahirkan bahawa agensi agama seperti Yadim boleh memainkan peranan yang besar dengan usaha seperti ini iaitu dengan berkonvoi.
"Pendekatan ini mungkin memberi kesan kepada remaja-remaja pemuda-pemuda dan orang-orang muda tatkala mereka lihat konvoi yang datang ke desa mereka. Sekurang-kurangnya berlaku satu interaksi dakwah yang akan beri kesan yang cukup baik.
"Dalam pelayaran seperti ini ia membuka minda dan kita berinteraksi dengan manusia mudah-mudahan usaha yang dilakukan oleh Yadim akan terus menyemarakkan dakwah dengan pelbagai bentuk dan cara pendekatan adalah amat sesuai dengan zaman sekarang ini," katanya kepada pemberita hari ini.
Terdahulu beliau menyempurnakan Majlis Pelancaran Program Semarak Dakwah di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) di sini.
Beliau turut melepaskan kira-kira 20 peserta konvoi motosikal Jelajah Kampung Orang Asli di Jelebu, Negeri Sembilan dan Bentong, Pahang yang merupakan salah satu program di bawah Semarak Dakwah.
Zulkifli berkata, acara kemuncak program adalah pada 30 Ogos nanti di mana misi dakwah akan disampaikan ke lima negeri.
"Konvoi misi dakwah Yadim akan menyampaikan bantuan dan dakwah yang penuh hikmah dan teratur serta tertib secara santai dan usaha seperti ini juga mengambil kira berkenaan dengan bulan kemerdekaan yang sedang kita lalui," katanya.
Semarak Dakwah berkonsepkan dakwah lapangan yang akan diadakan di seluruh negara menerusi pejabat-pejabat Yadim setiap negeri bertujuan menyantuni golongan berisiko terutamanya lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), anak muda, gelandangan dan masyarakat.
Antara pengisian dirancang termasuk dakwah jalanan, sesi kaunseling, kesedaran kesihatan, santai anak muda, program cinta ilmu, tahsin al-Quran, ziarah prihatin, tahsin ibadah, bina insan dan program hiburan Islam.