MOSCOW - Penembak Christchurch yang membunuh 51 orang awam pada 2019 dalam serangan ke atas dua masjid New Zealand, Brenton Tarrant turut merancang untuk membakar masjid berkenaan, kata seorang hakim.
Tarrant, mengaku bersalah atas 51 tuduhan membunuh, 40 tuduhan cubaan membunuh, dan satu tuduhan melakukan keganasan.
Perbicaraan kes itu bermula pada Isnin selama empat hari.
Tarrant sebelum ini memecat peguam belanya dan mewakili dirinya sendiri, lapor agensi berita Sputnik.
Menurut pertuduhan, yang dibacakan Pendakwa Raya Diraja Barnaby Hawes, pengganas itu hati-hati merancang serangan berkenaan bertujuan menyebabkan sebanyak mungkin kematian.
Sebelum serangan itu, Tarrant telah mengumpulkan banyak maklumat mengenai pelan dalaman masjid, lokasi, waktu solat, dan tarikh penting kalendar umat Islam bagi memastikan waktu paling sibuk di masjid," ujar Hawes dalam video yang dikongsi New Zealand Herald.
Selain sejumlah besar senjata api dan peluru di dalam kereta Tarrant, terdapat empat bekas mengisi petrol yang sudah diubah suai yang dirancang digunakan sebagai bahan bakar.
Tertuduh merancang untuk membakar masjid-masjid itu di akhir serangan.
Tarrant, rakyat Australia berpindah ke New Zealand pada 2017, hadir di mahkamah dan menunjukkan sedikit penyesalan. Dia akan berada di kandang tertuduh sepanjang empat hari untuk mahkamah mendengar keterangan daripada kira-kira 66 individu.
Serangan, yang dilakukan Tarrant pada 15 Mac 2019 di bandar terbesar di selatan pulau New Zealand itu disiarkan secara langsung di Facebook melalui kamera yang dipasang di badannya.- Bernama