KUANTAN - Kira-kira 88 peratus pemilik tanah di Pahang tidak terbeban dengan pelaksanaan cukai tanah baharu yang berkuat kuasa awal tahun lalu.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kenaikan kadar cukai itu dibuat oleh kerajaan selepas lebih 12 tahun dan sudah sudah melalui proses kajian menyeluruh selain memberi pertimbangan kepada mereka yang layak.
"Jadi, hanya 12 peratus sahaja yang terjejas dengan pengenalan cukai baharu ini namun kerajaan negeri memberi pengurangan melalui remisyen.
"Sebab itu, tiada isu cukai ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Chini," katanya ketika menjawab soalan tambahan Lee Chin Chen (DAP-Bilut) pada sesi pertanyaan lisan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri (DN) Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.
Sebelum itu, Wan Rosdy memaklumkan bahawa kerajaan Pahang berjaya mengutip cukai tanah berjumlah RM198.44 juta setakat 16 Ogos lalu.
Pada persidangan itu, Wan Rosdy turut menjawab pertanyaan Lee Chean Chung (PH-Semambu) mengenai perkembangan terkini 11 Memorandum Persefahaman (MoU) melibatkan pelaburan bernilai RM1.134 bilion yang ditandatangani Pahang Investment Forum 2019 di Singapura, pada Ogos 2019.
Katanya, tahap kejayaan setakat ini ialah 81.8 peratus dengan satu projek bernilai RM30 juta telah dilaksanakan.
Menurutnya, dua projek bernilai RM200 juta dalam proses akhir perjanjian manakala tiga projek bernilai RM278 juta di peringkat kajian perancangan akhir.
"Tiga lagi projek bernilai RM76 juta masih dalam tindakan syarikat dan kelewatan berlaku kerana pelabur tidak dapat memasuki Malaysia ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"Dua lagi projek telah digugurkan atas alasan kegagalan mendapatkan dana pelaburan daripada rakan kongsi syarikat di China dan pihak syarikat tidak bersetuju dengan lokasi tanah di Cemeron Highlands," katanya.