KUALA LUMPUR - India mencapai sasaran penting dalam memerangi wabak Covid-19 dengan melakukan lebih sejuta ujian sehari.
Menurut kenyataan Suruhanjaya Tinggi India di Malaysia, dengan usaha terancang dan konsisten oleh kerajaan pusat, negeri dan Wilayah Kesatuan (UT), sebanyak 1,023,836 ujian dilakukan pada Sabtu lalu.
Iklan
Iklan
India telah memutuskan untuk menguji 10 lakh atau sejuta sampel setiap hari (1lakh = 100,000). Dengan pencapaian ini, ujian kumulatif adalah melebihi 3.4 crore (1 crore = 10 juta).
"Jumlah ujian harian telah menunjukkan perkembangan secara menaik. Purata harian sejak tiga minggu lalu menunjukkan kemajuan dalam meningkatkan ujian Covid-19 ke seluruh negara,” kata kenyataan yang dihantar kepada Bernama hari ini.
Menurut kenyataan itu, sungguhpun jumlah ujian yang lebih tinggi pada awalnya akan menyebabkan kenaikan kes positif, pada akhirnya ia akan menurun dengan menggabungkan langkah-langkah lain seperti pengasingan yang pantas, kecekapan pengesanan dan pengurusan klinikal yang tepat pada masanya serta berkesan.
"Digabung dengan peningkatan ujian, keputusan dasar Pusat dan Negara / UT telah memudahkan ujian ke seluruh negara," katanya.
Ketika ini, India mempunyai 1,511 makmal diagnostik merangkumi 983 makmal kerajaan dan 528 swasta.- Bernama