RUU MKN (Pindaan) 2020 perkasa keselamatan negara

Iklan
Takiyuddin Hassan

KUALA LUMPUR - Rang Undang-Undang Majlis Keselamatan Negara (Pindaan) 2020 signifikan bagi memastikan Majlis Keselamatan Negara (MKN) terus melaksanakan fungsinya agar tadbir urus keselamatan negara dapat dilaksanakan secara cekap dan berkesan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, cadangan pindaan itu juga untuk menambah baik Akta Majlis Keselamatan Negara 2016 (Akta 776) yang antara lain berhubung kuasa Pengarah Operasi untuk meminta daripada mana-mana individu atau entiti selain entiti kerajaan, apa-apa maklumat atau risikan dalam milikannya.

Iklan
Iklan

"Ia menunjukkan bahawa kerajaan mengambil berat dan komited bagi memastikan ancaman keselamatan negara dapat ditangani dengan lebih cepat, cekap, efisien dan bertindak mengambil langkah-langkah perlu bagi menjamin perkongsian maklumat perisikan dan tindak balas segera secara bersepadu oleh pasukan keselamatan ke atas sesuatu insiden ancaman keselamatan,” katanya ketika membentangkan rang undang-undang itu untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat, hari ini.

Takiyuddin berkata rang undang-undang itu bertujuan meminda peruntukan berhubung kuasa mengisytiharkan kawasan keselamatan dengan memberi kuasa itu kepada Yang di-Pertuan Agong, dan susulan itu, pindaan Seksyen 18 Akta 776 tidak akan menjejaskan peranan MKN sebagai penasihat dalam perisytiharan mana-mana kawasan keselamatan.

Iklan
Iklan

Selain memperkemas dan memperkukuhkan keanggotaan MKN, rang undang-undang itu juga untuk meningkatkan penalti bagi kesalahan melanggar obligasi kerahsiaan maklumat berhubung hal ehwal MKN serta memastikan kuasa membuat peraturan di bawah akta berkenaan tidak terletak pada Perdana Menteri sahaja, sebaliknya hasil keputusan bersama musyawarah MKN.- Bernama