JERANTUT - Seorang bekas tentera maut dalam kemalangan melibatkan tiga buah kenderaan di Kilometer (KM) 13 Jalan Jerantut - Benta di sini hari ini.
Kemalangan membabitkan kereta jenis Proton Waja, kenderaan utiliti sukan (SUV) Honda CR-V dan lori Nissan.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, mangsa Zulhisham Azahar, 34, dari Kampung Perlok, Ulu Cheka yang memandu Honda CR-V meninggal dunia di tempat kejadian manakala penumpang kereta itu, Sidek Keng, 59, dari Kuala Krau cedera parah.
Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintendan Mazlan Hassan berkata,siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta Honda CR-V terbabit dari arah Jerantut menghala ke Ulu Cheka
"Apabila sampai di tempat kejadian, kereta berkenaan dipercayai memasuki kanan jalan lalu bertembung dengan lori yang datang dari arah bertentangan.
"Pertembungan mengakibatkan kereta itu berpusing masuk ke laluan asal dan kemudian bertembung dengan kereta Waja yang dalam perjalanan menghala ke Ulu Cheka," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelasnya, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala penumpangnya dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) untuk rawatan lanjut.
"Pemandu Waja iaitu seorang wanita berusia 23 tahun dan penumpangnya tidak cedera manakala pemandu lori yang berusia 32 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan serta dan ujian air kencingnya negatif," katanya.
Ujarnya, siasatan lanjut diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.