SABAK BERNAM - Seorang warga emas hidup dalam keadaan menyedihkan kerana tidak dilengkapi kemudahan bekalan air dan elektrik dalam sebuah rumah daif di Jalan Kampung Naidu, di sini.
P Veerammah, 80, dipercayai tinggal bersama dengan seorang anak lelakinya yang bekerja mengambil upah menjual surat khabar di Pasar Awam, di sini.
Biro Integrasi Amanah Kawasan Sabak Bernam, R Pottaraju berkata, wanita itu sudah lama mendiami rumah kayu terbabit.
"Rumah diduduki wanita dan anaknya itu terlalu daif dan perlukan perhatian pihak berwajib," katanya kepada Sinar Harian.
Pottaraju berkata, selain tiada dua kemudahan asas itu, keadaan rumah Veerammah terlalu usang dan terdapat banyak kebocoran pada bahagian bumbung.
Katanya, selain itu, dinding kayu rumah itu semakin reput dimakan anai-anai, malah bahagian belakang rumah terbabit tidak berbumbung.
"Rumah ini juga tak ada tandas dan terpaksa menadah air hujan untuk kegunaan harian," katanya.
Justeru, katanya, pihaknya merayu kepada mana-mana syarikat korporat dan agensi kerajaan membantu keluarga terbabit.
"Kita harap ada pihak membela nasib keluarga ini yang hidup serba kemiskinan," katanya.
Sementara itu, Adun Sabak Ahmad Mustain Othman yang menziarahi warga emas terbabit berkata, beliau mengetahui kesusahan dialami Veerammah selepas kisah wanita itu tular di media sosial.
"Hari ini saya turun untuk melihat sendiri dan terkejut dalam sebuah negara membangun, masih ada rakyat hidup dalam sebuah pondok yang saya anggap seperti stor penyimpan barang," katanya.
Menurut beliau, pihak bertanggungjawab termasuk agensi kerajaan berkaitan diminta membantu wanita terbabit pindah dan menduduki kediaman lebih selesa.
"Saya difahamkan, anak lelakinya memeluk Islam, tapi saya tak pasti dan akan rujuk semula perkara ini.
"Sekiranya benar anak wanita ini sudah memeluk Islam, saya minta Lembaga Zakat Selangor membantu membina rumah atau memberikan bantuan sewajarnya," katanya.