BERLIN - Pemerintah Jerman percaya pengkritik Kremlin, Alexei Navalny berkemungkinan diracun, menurut jurucakap Canselor Angela Merkel hari ini.
"Kita berdepan dengan pesakit yang berkemungkinan besar diracun," kata Steffen Seibert sekali gus menyokong dakwaan pembantunya sebelum ini yang percaya racun telah dicampurkan dalam air teh yang diminum oleh Navalny, 44, ketika mahu menaiki pesawat pulang ke Moscow pada Khamis lalu.
Minggu lalu, doktor Siberia di bandar Omsk yang merawat beliau mendakwa keputusan ujian menunjukkan tubuhnya bebas racun.
Kementerian Kesihatan Wilayah Omsk memaklumkan kafein dan alkohol ditemui pada ujian ke atas urin Navalny dan tiada racun konvulsi atau sintetik telah dikesan.
"Perkara yang mencurigakan adalah seseorang telah meracun Navalny dan ia dapat dilihat menerusi beberapa contoh dalam sejarah Rusia sebelum ini. Oleh itu, dunia memandang serius perkara ini," ujarnya.
Sabtu lalu, Navalny diterbangkan ke Berlin dengan menaiki pesawat perubatan yang disewa khas sebuah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan Jerman, Cinema for Peace.
Pemindahan itu dibuat selepas Merkel menawarkan untuk memberikan rawatan kepadanya malah beliau menyifatkan berita yang melaporkan tentang keadaan Navalny sangat menyentuh hatinya.
Ketika ini, pemimpin pembangkang tersebut sedang dirawat di Hospital Charite di Berlin selepas doktor memaklumkan akan melakukan diagnosis perubatan ke atasnya, namun masih belum memberikan sebarang laporan umum tentang keadaan beliau.
Minggu lalu, konflik tercetus selepas doktor di Omsk tidak membenarkan beliau dipindahkan ke Jerman sebelum akhirnya akur dengan permintaan keluarganya. - AFP