Saksi tidak tahu sumbangan RM10 juta kepada Yayasan Akalbudi

Iklan
Ahmad Zahid menghadiri perbicaraan kes beliau di mahkamah - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Seorang pengarah syarikat Chia Bee Enterprise Sdn Bhd memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini yang beliau tidak mengetahui sumber wang berjumlah RM10 juta yang telah dibayar kepada Yayasan Akalbudi milik bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada 2016.

Wong Hee Sing, 65 berkata, beliau juga tidak mengetahui mengapa syarikat itu membuat pembayaran kepada Yayasan Akalbudi menerusi Messrs Lewis & Co.

Iklan
Iklan

"Saya sahkan yang saya tidak pernah tahu mengenai Yayasan Akalbudi, Yayasan Al-Falah dan Lewis & Co sebelum ini. Saya secara sendiri tidak pernah bertemu Datuk Seri Ahmad Zahid sebelum ini, saya cuma kenal beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri,” katanya.

Saksi pendakwaan ke-88 itu berkata demikian ketika membacakan kenyataan saksinya pada perbicaraan Ahmad Zahid yang menghadapi pertuduhan rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram melibatkan jutaan ringgit daripada dana Yayasan Akalbudi.

Iklan

Hee Sing berkata, beliau bersetuju menjadi pengarah Chia Bee Enterprise selepas mendiang Datuk Seri Lau Hui Kang, mati sekitar 2006.

"Saya telah dilantik sebagai pengarah Chia Bee Enterprise dari 5 Jun, 2008, seperti diminta oleh Wong Sang Woo (Paul Wong), seorang rakyat Singapura... Paul Wong merupakan rakan baik Lau, yang ketika itu merupakan pengarah KTS Sdn Bhd.

Iklan

"Saya dibayar upah pengarah oleh Chia Bee Enterprise secara tahunan, saya tidak mempunyai peranan langsung dalam syarikat itu... malah saya bukan seorang yang menandatangani akaun syarikat dari tarikh lantikan sehingga sekarang.

"Saya sahkan yang Chia Bee Enterprise juga tidak mempunyai pejabat atau setiausaha, kerana ia sebuah syarikat pendam dengan tiada aktiviti perniagaan,” katanya.

Ketika soal balas oleh peguam Hamidi Mohd Noh yang mewakili Ahmad Zahid, saksi itu berkata, beliau tidak tahu yang RM10 juta adalah wang untuk sebuah yayasan amal yang diuruskan oleh presiden UMNO itu.

Hamidi: Adakah biasa bagi ahli politik untuk mempunyai yayasan amal?

Hee Sing: Saya tidak tahu.

Saksi juga menjawab secara negatif apabila Hamidi memberitahu beliau yang rakannya (Paul Wong) menyumbangkan wang RM10 juta kepada Yayasan Akalbudi untuk membina masjid, sekolah agama dan membeli dua plot tanah.

Hamidi turut mencadangkan yang pembayaran kepada Lewis & Co adalah berada di atas harganya dan ia telah diambil kira, yang mana saksi itu bersetuju dengannya.

Hamidi: jika wang ini selain daripada untuk tujuan amal atau wang haram, atau duit haram atau pengubahan wang haram, ia tidak akan diuruskan sedemikian cara? Jika ia wang haram, anda tidak akan bagi dalam bentuk cek, anda akan berikan wang tunai, diletakkan dalam bag dan kereta?

Hee Sing: Betul.

Ahmad Zahid, 67, berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram, melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah, bersambung esok.