Pencuri sempat kaya dua hari

Iklan
Barangan kemas dan wang tunai milik mangsa yang bernilai lebih RM100,000 ditemui semula.Gambar kecik: Abdul Rahim Daud

KOTA BHARU - Seorang pencuri hanya sempat kaya selama dua hari apabila dicekup bersama wang tunai dan barangan kemas bernilai lebih RM100,000 selepas memecah masuk banglo seorang guru wanita di Ketereh di sini kelmarin.

Suspek lelaki berusia 25 tahun terbabit dikesan dan ditahan di Stesen Bas Lembah Sireh di sini pada jam 8 malam semalam oleh anggota Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) Kota Bharu.

Iklan
Iklan

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, suspek ketika itu berhasrat melarikan diri dengan menaiki bas ke Kuala Lumpur bersama hasil barangan yang dicuri.

Menurutnya, suspek mencuri wang tunai bernilai RM5,000, mata wang Dolar 7,500, Euro 150 dan mata wang Singapura, Brunei serta Oman dalam jumlah yang tidak pasti.

Iklan

"Turut dicuri dua rantai tangan emas, dua gelang emas bersama lima cincin emas yang keseluruhannya bernilai lebih RM100,000.

"Kesemua barangan yang hilang dirampas daripada suspek warga tempatan yang beralamat di Gombak, Kuala Lumpur,” katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian hari ini.

Iklan

Abdul Rahim berkata, mangsa yang berusia 51 tahun bersama suami sebelum itu meninggalkan banglo dua tingkat berkenaan kerana pergi ke Kuala Krai bagi menghadiri majlis kenduri dan balik semula ke rumah pada jam 9.15 malam kelmarin.

"Kemudian pada jam 5.15 pagi semalam, mangsa melihat bekas simpanan barang kemas yang diletakkan di dalam almari di bilik tidur berubah tempat dan barangan di dalamnya hilang.

"Rumah tidak memiliki rakaman kamera litar tertutup (CCTV) manakala siasatan di lokasi kejadian tidak menjumpai kesan pecah atau umpil pada mana-mana pintu mahupun tingkap yang tidak berjeriji,” katanya.

Menurut beliau, suspek mencuri barangan dan meletakkan kembali bekas simpanan.

"Semakan mendapati suspek mempunyai lima rekod lampau jenayah dan dadah. Suspek ditahan reman empat hari sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

"Saya mengucapkan tahniah kepada pegawai dan anggota yang begitu cekap serta pantas bertindak sehingga suspek berjaya ditangkap dalam masa singkat,” katanya.