SHAH ALAM - Sebelum dunia dilanda pandemik Covid-19, data Food and Agriculture Organization (FAO) pada tahun lalu mendedahkan lebih 820 juta orang atau seorang daripada setiap sembilan orang tidak mempunyai jaminan cukup makanan.
Daripada jumlah itu 113 juta pula dilaporkan mengalami kebuluran teruk yang mengancam nyawa.
Itulah antara informasi yang dikongsikan Ketua Jabatan, Jabatan Pemakanan dan Dietetik, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Norhasmah Sulaiman kepada Sinar Harian semalam.
"Selepas Covid-19, bermula dari bulan Mac lalu hingga sekarang, saya menjangkakan peratusan atau jumlah tiada jaminan kecukupan makanan ini semakin meningkat.
"Setakat ini kita tiada kajian di peringkat nasional bagi melihat tiada jaminan ketidakcukupan makanan selepas Covid-19,” kata Norhasmah yang menekankan kajian untuk melihat secara saintifik kesan Covid-19 ke atas makanan dan pemakanan khususnya dalam kalangan kanak-kanak.
"Data yang ada di peringkat nasional setakat ini hanyalah dalam kalangan orang tua. Apa yang saya boleh kongsikan adalah berdasarkan kajian saya dalam bidang pemakanan yang memfokuskan kepada golongan berpendapatan rendah.
"Kajian saya memberi fokus kepada tiga kumpulan iaitu golongan B40, golongan orang asli dan golongan penerima bantuan, misalnya, daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Pusat Zakat.
"Berdasarkan kajian saya, sebelum Covid-19, kira-kira 50 hingga 60 peratus golongan B40 mengalami ketidakcukupan makanan.
"Bagi golongan penerima bantuan, ketidakcukupan makanan adalah pada 70 hingga 80 peratus dan orang asli mencatatkan 80 peratus ketidakcukupan makanan,” katanya yang menjangkakan keadaan semakin serius selepas negara dilanda Covid-19.
Tegas Norhasmah, terdapat empat komponen yang berkaitan jaminan kecukupan makanan iaitu availability (ada atau tidak makanan), accessibility (boleh atau tidak dapat makanan tersebut), utilization (bagaimana penggunaan makanan di rumah) dan stability (kestabilan).
Tambah Norhasmah, isu malnutrisi melibatkan dua keadaan, pertama kanak-kanak tidak cukup makan dan keduanya, kanak-kanak berlebihan berat badan dan obesiti.
Merujuk kepada data Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2019, sejumlah 21.8 peratus kanak-kanak di bawah umur lima tahun terbantut kesan daripada malnutrisi manakala 29.8 peratus kanak-kanak berumur lima hingga 17 tahun berlebihan berat badan (15.0 peratus) dan obes (14.8 peratus).
"Di Malaysia, kita mengalami masalah digelar double burden malnutrition, sebelah pihak mengalami masalah malnutrisi kekurangan berat badan dan sebelah pihak lagi mengalami masalah berat badan berlebihan dan obesiti namun pada ketika Covid-19 dijangkakan isu kekurangan berat badan adalah lebih kritikal.
"Contohnya, ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat Covid-19 ibu bapa tidak dapat keluar bekerja, tiada pendapatan untuk beli makanan sekali gus menyebabkan berlakunya ketidakcukupan makanan dan akhirnya menyumbang kepada malnutrisi," katanya lagi.
Ditanya apa yang boleh dilakukan golongan tidak berkemampuan (B40) bagi mengelak berlakunya malnutrisi, Norhasmah berkata mereka boleh memulakan inisiatif sendiri seperti memulakan aktiviti hasil cucuk tanam seperti sayur-sayuran dan hasilnya boleh digunakan untuk isi rumah dan sekiranya berlebihan boleh dijual untuk menjana pendapatan.