SHAH ALAM - Pendidikan online merupakan salah satu isu yang mencengkam pelajar terutamanya anak-anak daripada golongan B40 baik di bandar atau di luar bandar.
Menurut Pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Madya Dr Nik Salida Suhaila Nik Saleh, antara isu yang paling hangat diperkatakan termasuklah ketiadaan gajet untuk kelas online, tiada internet dan ada pelajar yang terpaksa bekerja bagi membantu ibu bapa.
"Pengalaman saya ketika mengendalikan kelas secara online mendapati terdapat pelajar yang tidak dapat mengikuti kelas secara serentak dengan rakan-rakan lain.
"Ada yang mengalami masalah mendapatkan rangkaian internet, ada yang terpaksa bekerja bagi membantu meringankan beban kewangan keluarga semasa PKP dan ada yang menjaga anak kecil, orang tua atau adik-beradik di rumah,” kata Nik Salida kepada Sinar Harian semalam..
Katanya, disebabkan kekangan itu, ia sekali gus membataskan keupayaan pelajar untuk mengikuti kelas pengajian secara online. Namun golongan pendidik haruslah bersikap lebih bertolak ansur.
"Kita perlu faham situasi pelajar, selain kekangan kerajaan untuk menyediakan kemudahan kepada rakyat.
"Sekiranya kerajaan dapat membekalkan internet percuma kepada seluruh rakyat dan masih terdapat pelajar-pelajar yang tidak mengikuti kelas secara online, maka itu boleh dikenakan tindakan.
"Namun, kini apa yang berlaku, semuanya bergantung kepada keadaan ekonomi sesebuah keluarga dan adalah tidak wajar sekiranya pelajar dikenakan tindakan sekiranya gagal mengikuti kelas secara online dalam tempoh itu,” katanya.
Memetik kisah Veveonah Mosibin, pelajar jurusan Asasi Sains dari Kampung Sapatalang, Pitas, Sabah yang sanggup tidur di atas pokok semata-mata untuk menjalani peperiksaan secara online, Nik Salida berkata, kesungguhan gadis berusia 18 tahun itu dalam pelajaran harus dijadikan contoh.