TANJUNG MALIM - Seramai 267 anggota dan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) mula menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim hari ini.
Proses pengundian awal berlangsung di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim bermula jam 8 pagi sehingga jam 5.30 petang.
Sepanjang proses mengundi awal itu, pematuhan kepada garis panduan pencegahan wabak koronavirus (Covid-19) berkuat kuasa seperti penjarakan sosial, pemakaian pelitup muka, penggunaan pensanitasi tangan serta saringan suhu badan.
Proses itu akan disaksikan ejen calon serta pemerhati pilihan raya yang dilantik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selain turut disiarkan secara langsung atau 'live streaming' menerusi Facebook SPR.
Turut meninjau pusat pengundian berkenaan ialah Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh, Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain dan Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Sulizmie Affendy Sulaiman.
Selain itu, calon Bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi turut hadir seawal jam 7.30 pagi bagi melihat perjalanan mengundi awal di pusat pengundian di sini.
Selesai membuang undi, semua peti undi bagi pengundian awal akan disimpan di lokap IPD Muallim dan pengiraannya akan dibuat pada hari pengundian, 29 Ogos ini di pusat pengiraan undi di bilik menunggu di Majlis Daerah Tanjung Malim.
PRK DUN Slim menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Mohd Zaidi Aziz dengan dua calon Bebas, Amir Khusyairi dan S Santharasekaran.
PRK itu diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib, 59, yang juga Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim, akibat serangan jantung pada 15 Julai lalu.
Daftar pemilih bagi PRK DUN Slim kali ini melibatkan 23,094 pengundi.