Bapa buat laporan palsu elak anak ditahan

Iklan
AA Anbalagan

BAYAN BARU - Seorang bapa sanggup membuat laporan palsu demi menyelamatkan anaknya yang berusia 16 tahun daripada ditahan polis kerana menunggang motosikal tanpa lesen.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan AA Anbalagan berkata, suspek berusia 54 tahun itu ditahan selepas polis mendapati laporan yang dibuat kononnya dia dan anaknya disamun adalah palsu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, suspek mengaku membuat laporan palsu itu kerana ingin menyelamatkan anaknya yang terlibat kemalangan ketika sedang berlumba motosikal daripada ditahan polis.

"Mengikut laporan suspek, ketika dia dan anaknya menaiki motosikal di Jalan Dato Ismail Hashim, Sungai Ara, telah datang sebuah motosikal yang dinaiki dua lelaki dari arah belakang lalu merentap beg yang digalas anaknya pada jam 5.30 pagi Ahad lalu.

Iklan

"Akibat daripada itu, anak suspek telah jatuh dari motosikal dan mengalami kecederaan kecil. Bagaimanapun, setelah disiasat semua keterangan itu tidak benar dan kita menahan suspek yang bekerja sebagai pekerja kontrak itu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian tadi.

Anbalagan berkata, suspek mengaku membuat laporan palsu tersebut untuk mengelak anaknya ditahan polis kerana tidak mempunyai lesen memandu selain terlibat kemalangan ketika berlumba motosikal.

Iklan

"Ketika kemalangan itu, barang peribadi anaknya hilang. Oleh itu, dia ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan iaitu membuat laporan polis palsu yang boleh didenda enam bulan penjara atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

"Suspek dituduh di Mahkamah Majistret Balik Pulau semalam dan mengaku bersalah," katanya.