IPOH - Alat pengesan asap antara idea yang boleh digunakan untuk menghalang orang ramai merokok di tandas awam.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Baharuddin Shah berkata, idea tersebut hanya di peringkat cadangan dan belum pun dibawa ke mana-mana peringkat untuk dipertimbangkan.
Iklan
Iklan
Beliau berkata, perkara tersebut mungkin memerlukan penilaian terperinci kerana ia tentunya melibatkan kos yang agak tinggi untuk dilaksanakan.
"Kalau nak letak CCTV dalam tandas tak sesuai, mungkin kita boleh letak alat seperti smoke detector. Mungkin akan memakan masa untuk membanteras kegiatan merokok di dalam tandas kerana tabiat ini dah lama diamalkan oleh golongan ini.
"Apa yang boleh kita lakukan juga mungkin kempen kesedaran kerana orang nak ke tandas tak selesa dengan bau asap rokok ini," katanya kepada pemberita, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Tandas Sedunia Peringkat Kebangsaan 2019 di Stadium Indera Mulia, di sini.
Sebelum ini, Kementerian Kesihatan telah menguatkuasakan larangan merokok di dalam kawasan restoran dan tempat makan mulai 1 Januari lalu.