KUANTAN - Seorang buruh binaan warganegara Myanmar didakwa di Mahkamah Sesyen Kuantan hari ini atas tuduhan memberi suapan sebanyak RM3,000 kepada pegawai polis minggu lalu.
Tertuduh, Zainal Hussein Shuna Ali, 25, didakwa memberi suapan itu kepada Sarjan Mohd Shahrul Ashraf Shakri bagi melepaskan isterinya yang ditahan atas kesalahan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959.
Perbuatan itu dilakukan Zainai Hussein itu di bilik pintu 3, tingkat 2 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan pada jam 12 tengah hari 19 Ogos lalu.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana dia tidak memahami bahasa Melayu di hadapan Hakim Mohd Ghazali Mohamad Taib.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama.
Kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Siti Sarah Zainal Abiddin tidak menawarkan jaminan kerana tertuduh warga asing yang memegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR)
Mahkamah menetapkan 27 Ogos ini sebagai tarikh sebutan semula kes itu dengan kehadiran jurubahasa.