KOTA BHARU - Seorang pesara kerajaan berputih mata apabila wang simpanan Tabung Haji (TH) dan Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) miliknya berjumlah RM496,000 lesap akibat diperdaya sindiket Macau Scam.
Kejadian berlaku apabila wanita berusia 70-an itu terpedaya dengan taktik penyamaran sebagai posmen dan polis sehingga menyerahkan nombor pin kad mesin transaksi automatik (ATM) bank miliknya.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Kelantan, Superintendan Ahmad Azizul Mohamed berkata, pada pertengahan Julai lalu, pesara kerajaan berkenaan dihubungi suspek yang memperkenalkan diri sebagai kakitangan pejabat pos laju dan memberitahu bungkusan yang dipos mangsa sudah tiba di Sabah.
”Suspek memberitahu bungkusan tersebut mengandungi kad pengenalan dan beberapa kad ATM mangsa yang didapati terlibat dengan kes jenayah pengubahan wang haram.
"Mangsa kemudian dihubungkan dengan beberapa orang suspek lain yang menyamar sebagai polis temasuk pegawai penyiasat kes jenayah pengubahan wang haram tersebut,” katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.
Beliau berkata, mereka berhubung pada setiap hari selama seminggu bagi tujuan siasatan dan mangsa diminta mendedahkan kesemua akaun bank yang dimilikinya.
"Suspek seterusnya meminta mangsa memindahkan semua wang TH dan ASNB ke satu akaun bank mangsa kononnya atas keperluan siasatan sulit kes yang dijalankan.
"Pada hujung bulan lalu, suspek meminta mangsa membuat kad ATM yang baharu bagi akaun bank yang mengandungi semua wang mangsa tersebut sebelum memperdayakannya untuk mendedahkan butiran kad serta nombor pin kad ATM berkenaan,” katanya.
Menurut beliau, mangsa yang membuat semakan dengan pihak bank mendapati beberapa pengeluaran berjumlah RM496,000 dilakukan oleh suspek sejak awal bulan ini tanpa pengetahuan dan kebenarannya lalu membuat laporan polis.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara selama tempoh minimum setahun dan maksimum 10 tahun serta denda,” katanya.