Pindaan Akta Koperasi 1993 cadang hanya 20 ahli diperlukan tubuh koperasi

Iklan
Wan Junaidi

KUALA LUMPUR - Penubuhan suatu koperasi asas selepas ini hanya memerlukan sekurang-kurangnya 20 ahli berbanding 50 sebelum ini dengan pindaan terhadap Akta Koperasi 1993.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, cadangan pindaan itu selain memudahkan orang awam menubuhkan koperasi ia juga mempunyai cadangan yang akan memudahkan pentadbiran satu-satu koperasi.

Iklan
Iklan

"Dahulu juga kita perlukan sekurang-kurangnya 25 ahli untuk sain pengesahan minit mesyuarat, dengan pindaan ini kita cadangkan hanya 10 orang dah cukup untuk mengesahkan minit mesyuarat.

"Sekarang orang dah terpelajar, pendidikan meningkat tinggi, patut kita nilai semula, kita lihat negara-negara lain yang kebanyakannya sudah mengurangkan jumlah-jumlah ini, kita kena seiring dengan negara-negara lain supaya memudahkan koperasi ditubuhkan,” katanya ketika ditemui pemberita di Bangunan Parlimen di sini hari ini.

Iklan

Terdahulu Rang Undang-undang Koperasi (Pindaan) 2020 bagi meminda akta itu dibentang untuk bacaan kali pertama oleh Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Mas Ermieyati Samsudin di Dewan Rakyat.

Menurut Mas Ermieyati, bacaan kedua rang undang-undang itu akan dibentang pada persidangan Dewan Rakyat akan datang.

Iklan

Mengulas lanjut Wan Junaidi yang juga Ahli Parlimen Santubong berkata, rang undang-undang itu juga mencadangkan pindaan supaya Ahli Lembaga sesuatu koperasi dikurangkan dari enam sebelum ini kepada hanya tiga orang.

Rang undang-undang itu juga bertujuan meminda perenggan 12(b) akta berkenaan untuk meniadakan kehendak dikenakan ke atas suatu koperasi mendapatkan kelulusan bertulis daripada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) sebelum ia boleh mempamerkan nama atau logo di setiap cawangannya.

Ia juga bertujuan meminda subseksyen 50 akta berkenaan untuk mengurangkan bilangan minimum Ahli Jawatankuasa Audit Dalaman sesuatu koperasi daripada tiga kepada dua.

Pindaan turut dicadangkan terhadap subseksyen 72(1) akta itu untuk memperuntukkan bahawa pembatalan pendaftaran sesuatu koperasi hanya boleh dibuat SKM sekiranya bilangan ahlinya kurang daripada lima berbanding 15 sebelum ini. - Bernama