Seludup rokok, arak guna empat kontena

Iklan
Johari (tengah) menunjukkan paip besi yang ditemui bersama rokok putih dan minuman keras pada sidang media di Stor Simpan Kastam, Bagan Jermal hari ini.

BUTTERWORTH - Jabatan Kastam Diraja Malaysia mematahkan cubaan menyeludup masuk 20.35 juta batang rokok putih dan 124,944 tin minuman keras yang dibawa masuk melalui Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang, Selangor pada 15 Ogos lalu.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan & Pematuhan), Datuk Johari Alifiah berkata, rampasan berkenaan yang bernilai RM1.87 juta membabitkan nilai cukai RM14.62 juta dimuatkan dalam empat kontena yang dibawa masuk dari China.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pihaknya turut menahan seorang lelaki berusia 28 tahun yang dipercayai terlibat dengan sindiket penyeludupan berkenaan.

"Siasatan awal mendapati kes pertama dan kedua yang masing-masing melibatkan dua kontena dikendalikan oleh dua syarikat perkapalan yang berstatus sendirian berhad di Selangor.

Iklan

"Bagi mengaburi mata pihak berkuasa syarikat terbabit mengikrarkan barang dagangan berkenaan sebagai paip besi dalam dokumen pendaratan," katanya pada sidang media di Setor Simpan Kastam, Bagan Jermal di sini hari ini.

Johari berkata, ketika pemeriksaan pihaknya bukan sahaja menemui paip besi yang turut diletakkan bersama rokok putih dan minuman keras malah mereka turut meletakkan sejumlah sudu dan garpu bagi memastikan berat kontena sama seperti yang diikrarkan.

Iklan

Katanya, siasatan lanjut masih lagi dijalankan bagi mengenal pasti dalang yang terbabit dengan sindiket penyeludupan itu dan kes berkenaan kini disiasat di bawah Akta Kastam 1967 dan Akta Eksais 1976.

"Orang ramai digesa membantu pihak kastam memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti berkenaan.

"Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi kehilangan hasil, malah ia turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat," katanya.